Categories
NASIONAL

Dasar Projek Perumahan Mampu Milik Persekutuan lemah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 21 NOV : Dasar milikan Projek Perumahan Rumah Mampu Milik (PPR) yang dilaksanakan di peringkat Persekutuan gagal mencapai matlamat penubuhannya.

Kelemahan dasar Kerajaan Persekutuan itu diakui wakil rakyat Barisan Nasional, Datuk Bung Moktar Radin.

“Dasar PPR khususnya kepada masyarakat di Wilayah Persekutuan adalah untuk merealisasikan hasrat perumahan negara dapat dicapai.

“Malang sekali saya melihat di Wilayah Persekutuan, (dasar) rumah mampu milik ini sudah hampir mustahil untuk dimiliki.

“Ia mungkin ia sekadar mampu ditengok, mampu dilihat dan itu yang dapat saya katakan berdasarkan aduan yang saya terima.

“Mereka (Rakyat) juga mengatakan, pelaksanaan PRIMA juga sudah tersasar, bukan lagi menyediakan rumah mampu milik, tetapi tidak boleh dimiliki,” katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata demikian pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, pagi ini.

Bagaimanapun, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan lebih 70,000 unit rumah di bawah skim itu.

Katanya, ia dijual pada kadar RM188,000 hingga RM300,000 seunit sebagai inisiatif Kerajaan Pusat untuk menyediakan perumahan mampu milik kepada rakyat kurang berkemampuan.

=EZY=