Categories
EKONOMI

Harga minyak dunia susut

LOS ANGELES 21 NOV: Harga minyak susut 0.8 peratus pada Isnin, meneruskan penyusutan menjelang mesyuarat Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Dalam perkembangan berkaitan, nilai dolar yang kukuh turut memberi kesan kepada komoditi, lapor REUTERS.

Kontrak minyak mentah AS, West Texas Intermediate (WTI) ditutup 46 cents lebih rendah atau 0.8 peratus kepada AS$56.09, manakala niaga hadapan Brent susut 50 cents atau 0.8 peratus kepada AS$62.22 setong.

Harga minyak berada di bawah tekanan bagi dua minggu kebelakangan ini selepas meningkat pada awal November lalu dan harga minyak mentah Amerika Syarikat (AS) telah susut 2.6 peratus.

OPEC bersama dengan pengeluar bukan OPEC yang diketuai oleh Russia sudah mengekang pengeluaran sejak awal tahun ini dalam usaha mengurangkan inventori global dan menyokong harga.

Perjanjian itu berakhir Mac depan dan mesyuarat OPEC pada 30 November ini bakal membincangkan mengenai polisi berkenaan.

Jangkaan yang dibuat adalah kumpulan itu akan meneruskan perjanjian pengurangan hingga keseluruhan tahun hadapan.

Ahli strategi PVM Oil Associates, Tamas Varga berkata penganalisis percaya OPEC dan 10 negara pengeluar bukan OPEC akan menyambung perjanjian berkenaan.

“Ia dijangka berlaku walaupun Rusia dilihat mempunyai pendirian yang agak berbeza,” katanya.

=EZY=