Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

DYMM Sultan Selangor berkenan merasmikan Jambatan Raja Muda Nala

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 19 NOV: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenanan menyempurnakan perasmian Jambatan Ketiga Klang yang dinamakan Jambatan Raja Muda Nala.

Baginda berangkat tiba sekitar jam 10 pagi bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin sambil diiringi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri, Datin Seri Shamshida Taharin.

Jambatan sepanjang 2.5 kilometer yang merentasi Sungai Klang sejauh 1.2 kilometer tanpa tol dengan kos pembinaan RM199 juta mula dibina pada 17 Julai 2014 dan siap sepenuhnya 15 Jun 2017.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali ketika menyampaikan sembah ucapan Majlis Perasmian Jambatan Ketiga Klang berkata jambatan ini dibina dengan pembiayaan sepenuhnya Kerajaan Negeri tanpa pinjaman daripada institusi perbankan tempatan atau luar negara.

“Pembangunan yang diberikan keutamaan Kerajaan Negeri adalah pembangunan berkualiti demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta menjamin alam sekitar, pemuliharaan hutan dan kawasan hijau serta membudayakan teknologi hijau,” katanya.

Beliau berkata pembangunan berkualiti mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan selain penyediaan infrastruktur terbaik untuk menarik kehadiran pelabur berlabuh di Selangor.

Menurutnya, dengan adanya Jambatan Raja Muda Nala ini bakal menyelesaikan masalah aliran trafik yang menghubungkan Teluk Pulai dan Sungai Bertek di bahagian selatan dan Tanjung Syawal di sebelah utara.

Jambatan jenis ‘segmental box girder’ yang terletak di tengah-tengah Sungai Klang adalah antara terpanjang di Malaysia.

Proses tender terbuka dilakukan bermula 24 Mac 2014 hingga 22 April 2014 dengan penyertaan 23 kontraktor.

Syarikat Cergas Murni Sdn Bhd dipilih menerusi Lembaga Tender peringkat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada mesyuarat 21 Mei 2014 untuk menyiapkan jambatan ini selepas melepasi penilaian teknikal dan menawarkan harga terbaik dengan tempoh pembinaan selama tiga tahun.

=EZY=