Categories
NASIONAL

KBS dan KKLW antara bakal dipanggil mengadap PAC

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil beberapa kementerian dan agensi kerajaan bagi memberikan penjelasan berhubung teguran dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Hassan Arifin berkata antara dipanggil adalah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KLLW), Lembaga Pelabuhan Bintulu dan Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP).

Beliai berkata secara keseluruhan, PAC berpuas hati dengan pengauditan yang dilakukan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 2.

“Pada keseluruhannya PAC berpuas hati dengan prestasi pengauditan kementerian, jabatan, agensi serta kedudukan penyata kewangan badan-badan berkanun persekutuan, kumpulan wang persekutuan, akaun amanah dan agensi-agensi lain bagi tahun 2016.

“126 (agensi/jabatan) menerima pendapat Audit tanpa teguran, 12 tanpa teguran dengan penekanan terhadap beberapa perkara, empat mendapat teguran dan satu mendapat pendapat bertentangan,” katanya dalam satu sidang media di Parlimen.

Menurutnya, kementerian dan agensi yang dipanggil lebih menjurus kepada perkara yang mempunyai kaitan kepentingan rakyat seperti kemudahan sukan kepada belia.

Dalam sidang media sama, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad berkata, teguran dan syor yang diberikan perlu diberikan perhatian supaya penambahbaikan dapat dilakukan.

=EZY=