Categories
PBT SELANGOR

Fasa keempat naik taraf Dataran Banting bermula

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 NOV: Cadangan pembangunan Dataran Banting oleh Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) kini memasuki fasa keempat bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.

Yang Dipertuanya, Mohammad Zain A Hamid berkata, kerja naik taraf kemudahan dianggarkan bernilai RM400,000 itu bakal memberi wajah baru kepada Dataran Banting, yang satu ketika dahulu digunakan masyarakat untuk beriadah.

Katanya, pembangunan itu dilengkapi pelbagai elemen dan kemudahan dengan mengambil kira pandangan semua pihak.

“Pembangunan pesat daerah Kuala Langat menjadi fokus utama kita menyediakan pelbagai kemudahan mengikut keperluan penduduk setempat, selain dilihat mampu menarik lebih ramai pengunjung menerusi penganjuran pelbagai acara.

“Antaranya pembinaan pentas berbumbung 300 meter persegi, termasuk laluan trek joging dan pembinaan perparitan sepanjang 45 meter,” katanya dipetik laporan Sinar Harian.

Mohammad Zain berkata, MDKL berusaha mewujudkan pelbagai perancangan pembangunan bagi memastikan daerah itu berjaya mencapai taraf majlis perbandaran, satu hari nanti.

Pada masa sama, beliau turut berharap penduduk menggunakan kemudahan sebaik mungkin apabila siap kelak, selain mengingatkan mereka tidak memasuki kawasan pembinaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.