Categories
SELANGOR

Program pembangunan bantu anak muda peroleh kerja, atasi pengangguran

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 7 NOV: Kerajaan Negeri menyediakan beberapa pelan perancangan dan pembangunan bagi mengatasi masalah pengangguran di Selangor.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata melalui pendekatan itu, ia membuka ruang kepada rakyat khususnya golongan muda memperoleh peluang mendapat pekerjaan dan meningkkatkan kerjaya.

“Antara program dijalankan ialah Karnival Kerjaya dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Selangor dan Jobs Malaysia di mana berjaya menarik kehadiran pengunjung hingga 10,000 orang dengan tawaran kerja lebih kurang 5,818 manakala sambutan juga menggalakkan apabila diadakan di daerah lain seperti Kuala Langat dan Kuala Selangor.

“Kita juga menggalakkan pembabitan golongan muda dalam pelbagai program pembangunan usahawan termasuk menyertai dan mengambil pinjaman daripada HIJRAH Selangor bagi mereka memulakan perniagaan,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua, Razaly Hassan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, program spesifik untuk masyarakat India menyertai pembangunan usahawan dan berkaitan juga dimulakan pada tahun lalu dengan lanjutan pada tahun ini dengan peruntukan RM1 juta dan RM3 juta tahun depan.

Selain itu, katanya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) turut melaksanakan program membabitkan kira-kira RM32.66 bilion untuk menggalakkan mereka menyertai program pembangunan usahawan sejak beberapa tahun lalu

“Dalam masa sama, melalui Penggerak Belia Tempatan (PeBT) kita juga menggalakkan anak muda menyertai pelbagai program dilaksanakan dengan 10 dasar digariskan.

“Selain pembabitan dalam program sosial, ia akan menjalinkan hubungan kerja dengan golongan ini di mana kita melihat faktor rakan sebaya antara faktor terbesar memberikan kesan kepadanya dengan kita mengenal pasti beberapa program sosial selain tawaran program ekonomi,” katanya.

Amirudin menambah, pengangguran dan kesempitan hidup berlaku di Malaysia mempunyai hubungan terhadap jenayah yang berlaku.

“Tanggapan dibuat ini adalah berdasarkan penilaian daripada beberapa kajian dijalankan contohnya kajian Ahmad Azam Sulaiman dan Mohd Hazli Hashim dari Universiti Malaya (UM) pada 2011 menunjukkan beberapa perkara memberi kesan kepada indeks jenayah berlaku,” katanya.

=EZY=