Categories
SUKANKINI

FMLLP: Lima pemain import dibenarkan

SHAH ALAM 21 NOV: Kuota seorang pemain ASEAN bagi setiap pasukan bermula 2018 hingga 2022 diperkenalkan pentadbir Liga Malaysia, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) bagi merancakkan saingan Liga Super.

FMLLP memaklumkan setiap pasukan dalam Liga Super masih dibenarkan menggunakan kuota tiga orang pemain import serta seorang pemain kuota Asia yang diperkenalkan sebelum ini, sekali gus menjadikan setiap pasukan boleh menggunakan lima pemain import pada setiap perlawanan.

“Pemain dari negara Asia Tenggara atau ASEAN tersebut hendaklah sekurang-kurangnya mempunyai 30 penampilan antarabangsa untuk pasukan utama negara terlibat.

“Ia perlu dibuktikan dengan mengemukakan surat rasmi dari Persatuan Bolasepak Negara yang mana Pemain tersebut bermain,” kata FMLLP dalam kenyataan media.

FMLLP menjelaskan sekiranya pemain kuota ASEAN berkenaan kurang daripada 30 penampilan antarabangsa, pasukan terlibat boleh memohon pengecualian namun keputusan akhir adalah muktamad dan tertakluk kepada budi bicara FMLLP.

Kenyataan tersebut turut menyatakan kuota pemain asing bagi saingan Liga Perdana musim depan masih kekal iaitu tiga pemain import serta seorang pemain kuota Asia.

FMLLP berkata kesemua lima pemain asing dibenarkan bermain untuk Liga Super namun hanya empat daripada lima pemain asing sahaja dibenarkan beraksi dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia.

Ia bagi memberi keadilan kepada pasukan dari Liga Perdana dan Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang turut bersaing dalam kedua-dua pertandingan berkenaan.

“Peraturan ini akan dikaji semula keberkesanannya selepas berakhirnya tempoh tersebut, ” kata FMLLP.

FMLLP memaklumkan pindaan penggunaan pemain asing dalam Liga Malaysia telah diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah FMLLP yang bermesyuarat pada 19 September lalu.

=EZY=