Categories
GLOBAL

Panggilan satelit bukan dari kapal selam Argentina

GLOBAL 21 NOV: Panggilan satelit yang dikesan hujung minggu lalu ketika operasi mencari dan menyelamat kapal selam Argentina yang hilang bukan datang dari kapal berkenaan.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan jurucakap tentera laut, Enrique Balbi, berkata ia sekali gus memusnahkan harapan panggilan itu datangnya daripada 44 kru kapal terbabit.

Balbi berkata, kapal selam ARA San Juan itu menghantar isyarat terakhirnya, Rabu lalu.

“Panggilan bukan dibuat daripada telefon satelit kapal selam San Juan,” katanya.

Cuaca buruk menyukarkan usaha mencari kapal selam yang hilang di Atlantik Selatan itu.

Lebih 12 bot dan pesawat dari Argentina, Amerika Syarikat, Britain, Chile dan Brazil menyertai usaha pencarian itu.

Pihak berkuasa, biasanya mengimbas laut dari bahagian atas, oleh kerana ribut menjadikan misi pencarian menggunakan bot sukar.

=EZY=