Categories
NASIONAL

Kerajaan Persekutuan digesa dedah butiran TPPA

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 21 NOV: Kerajaan Persekutuan digesa mendedahkan butiran baru Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kepada umum dan membuka ruang perbahasan terbuka berhubung perkara itu.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) , Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, perkembangan itu meliputi proses rundingan isi kandungan perjanjian itu yang cuba dijenamakan semula sebagai Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP).

Katanya, ia susulan daripada penarikan diri Amerika Syarikat daripada perjanjian itu.

“Dalam semakan kehakiman difailkan, pada 4 November 2015 lalu, ABIM dengan tegasnya berpandangan perlaksanaan TPPA menggugat secara langsung asas kedaulatan negara.

“Perlaksanaan mekanisme Investor-State Dispute Settlement (ISDS) langsung menggugat kedaulatan undang-undang negara mencemarkan keluhuran Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.

Raimi berkata, usaha merealisasikan CPTPP menggantikan TPPA, turut dibantah pakar ekonomi terkemuka antarabangsa seperti KS Jomo, yang menyuarakan kebimbangan kesan CPTPP terhadap rakyat.

Katanya kesan itu adalah kenaikan harga keperluan penting seperti bahan perubatan, dan aliran perdagangan antarabangsa tidak memihak kepada rakyat.

“Merujuk implikasi berkenaan, ABIM mendesak Kerajaan mendedahkan setiap butiran rundingan CPTPP kepada masyarakat umum.

“ABIM menggesa dialog dan perbincangan terbuka serta inklusif diadakan membabitkan setiap stakeholder mewakili setiap segmen rakyat serta lapangan ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, Raimi berkata, ABIM menggesa hasil proses dialog serta perbincangan dikemukakan stakeholder diangkat  rujukan utama sebelum keputusan perlaksanaan CPTPP dibuat.

“Keputusan tergesa-gesa melaksanakan ketetapan CPTPP tanpa analisis kritis dan terbuka meninggalkan kesan buruk kehidupan rakyat pada ketika terpaksa mendepani kesenjangan ekonomi semakin melebar,” katanya.

=EZY=