Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Geran khas RM70,000 laksana penyelidikan & program wanita, kanak-kanak

OLEH SABIRAH AZIZ

AMPANG JAYA, 8 NOV: Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor menawarkan geran khas berjumlah RM70,000 kepada ahli akademik, kumpulan atau individu berhasrat membuat penyelidikan dan program melibatkan wanita dan kanak-kanak di negeri itu.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IWB, Zuraida Kamaruddin berkata, dana RM50,000 diberikan bagi setiap penyelidikan akademik manakala untuk program sebanyak RM20,000 dalam tempoh tidak melebihi dua tahun.

“Kami memberikan keutamaan kepada penyelidikan dan program berpotensi untuk menyumbang dan meningkatkan nilai hidup sekaligus dapat menghasilkan suatu idea baharu.

“Mereka yang layak memohon terdiri daripada kakitangan akademik, pertubuhan berdaftar dengan syarat satu permohonan projek pada setiap fasa mengikut tempoh ditetapkan,” katanya sambil menambah permohonan turut dibuka kepada pelajar menjalankan tesis hak kanak-kanak.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Geran Penyelidikan IWB dan Program Perlindungan Kanak-kanak Selangor, hari ini.

IWB diwujudkan Kerajaan Selangor pada 4 Oktober lalu untuk merangka dasar dan strategi bagi memperkasakan serta meningkatkan status sosio ekonomi wanita, institusi keluarga dan kanak-kanak di negeri itu.

Sementara itu, Zuraida berkata, IWB akan menganjurkan sepuluh program perlindungan kanak-kanak bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa dan masyarakat tentang hak perlindungan kanak-kanak bawah umur melibatkan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Selangor.

“Program berbentuk ceramah, bengkel dan latihan ini bertujuan memberi pendedahan supaya golongan ini tahu hak dan bagaimana boleh melindungi diri mereka daripada gangguan seksual dan keganasan semakin berleluasa kini.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata, program itu akan bermula pada pertengahan November ini melibatkan 600 kanak-kanak, 400 ibu bapa dan 50 pelatih dengan kerjasama “Protect and Save the Children” yang pakar dalam isu dan masalah penderaan kanak-kanak.

Mengulas kes pencabulan kanak-kanak pada masa kini, Zuraida berkata, kebanyakan mangsa tidak berani mengadu sementara ibu bapa pula tidak dapat menerima hakikat bahawa anak mereka telah dicabul.

“Diharapkan menerusi program ini ibu bapa dan masyarakat akan sedar dan lebih peka dengan persekitaran dan apa yang berlaku kepada anak mereka,” katanya.

=EZY=