Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri nafi peruntukan SSDU RM59 juta

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 NOV: Kerajaan Negeri menafikan peruntukan belanjawan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) berjumlah RM59 juta sebaliknya jumlah keseluruhan berjumlah RM53.6 juta.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi serta Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, jumlah itu diberikan bermula pada 2016 sehingga 2017.

“Pada 2016, RM10 juta diperuntukkan untuk pembangunan Smart Selangor Blueprint termasuklah bengkel kajian dan maklumbalas, survey membabitkan lebih 10,000 rakyat, konsultasi dengan pakar dan pembikinan Blueprint.

“Untuk 2017 pula, sebanyak RM22 juta diperuntukkan melibatkan Smart App Development Platform (SADP), Smart Selangor Command Centre, Wifi Percuma Smart Selangor dan Demonstrasi ‘Internet of Things’ (IOT),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan Negeri Selangor 2018 bagi menjawab soalan yang dibangkitkan ADN Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bagi 2018, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM21.6 juta seperti diumumkan pada pembentangan belanjawan untuk Pembangunan Infrastruktur Digital, Public Citizen Partnership (PCP), Projek Perhentian Bas Pintar, Pembangunan Epicentre dan Accelerator, serta Pembangunan Silibus IOT bersama industri.