Categories
NASIONAL

Guan Eng ziarah Anwar, bincang persediaan PRU

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Pertemuan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dengan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam adalah lawatan biasa selain membincangkan beberapa perkara mengenai Pakatan Harapan (PAKATAN).

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata, pimpinan keempat-empat parti akan mengadakan retreat di Putrajaya esok dan akan memaklumkan butiran perbincangan kemudian.

“Pertemuan Setiausaha Agung DAP (Guan Eng) untuk bertanya khabar mengenai kesihatan Anwar. Kita tahu dia baru menjalani pembedahan dan masih di hospital serta menjalani fisoterapi.

“Kedua ada perbincangan mengenai persediaan Pakatan Harapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Seperti sedia maklum PAKATAN mengadakan retreat esok melibatkan pimpinan tertinggi keempat- empat parti berkaitan polisi, objektif gabungan yang akan diumumkan kelak,” katanya dalam sidang media di Pusat Media Parlimen.

Sebelum ini sekeping gambar memaparkan Guan Eng bertemu Anwar di hospital tular di laman sosial dan menimbulkan tanda tanya pengamal media.

Anwar baru sahaja selesai menjalani pembedahan bahu kanan akibat kejadian kemalangan konvoi penjara dan kini menjalani proses pemulihan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).