Categories
SELANGOR SUKANKINI

Hampir RM28 juta bagi pembangunan generasi muda

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 NOV: Sejumlah RM27.83 juta diperuntuk Kerajaan Negeri bagi melaksanakan program generasi muda dan sukan bagi 2018, kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, sejumlah RM11.74 juta daripadanya diperuntuk bagi menaik taraf infrastruktur sukan selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri mencungkil bakat baru di setiap daerah.

Katanya, antara projek diberikan keutamaan adalah membaiki Stadium Shah Alam dan Stadium Malawati (RM5 juta), Stadium Kota Raja (RM3.5 juta) dan Dewan Gimnastik Sekinchan (RM1 juta).

“Manakala, RM2.2 juta diperuntukkan untuk menaik taraf infrastruktur sukan di peringkat Dewan Negeri.

“Kerajaan Negeri juga menyediakan sejumlah RM7 juta bagi kemajuan sukan dan pembangunan olahragawan dan olahragawati untuk Sukan Malaysia (SUKMA) 2018,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri turut menyediakan RM9.09 juta bagi 2018 untuk pembangunan generasi muda termasuk Insentif Perkahwinan Belia berjumlah RM5 juta.

“Sejumlah RM1.44 juta turut diperuntuk bagi menjayakan program dan program generasi muda anjuran Penggerak Belia Tempatan (PeBT),” katanya.

=EZY=