Categories
SELANGOR

Jamal mahu kerusi Bukit Antarabangsa? Ini jawapan Azmin

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 30 NOV : Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bersedia berdepan Datuk Jamal Yunos sekiranya pemimpin Umno itu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa, pada Pilihan Raya Umum ke 14.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, rakyat bijak menilai sejauh mana prestasi dan kredibiliti kedua-dua pemimpin untuk menerajui kerusi disandang Mohamed Azmin pada pilihanraya lalu.

“Saya serahkan kepada budi bicara rakyat untuk memilih. Ini adalah proses demokrasi.

“Tapi saya percaya berdasarkan ‘track record’ (prestasi) dan dasar-dasar Kerajaan Negeri, rakyat pastinya akan membuat pilihan tepat untuk masa depan,” katanya.

Beliau bercakap kepada SelangorKini ketika ditemui pada Program Jelajah Peduli Rakyat peringkat Parlimen Gombak di Dataran Gombak Utara, Sungai Pusu, malam tadi.

Terdahulu, Jamal mendedahkan keinginannya bertanding di kerusi berkenaan sudah dimaklumkan kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Jamal berkata, perkara itu juga diputuskan menerusi perbincangan bersama kepimpinan Umno setempat.

Bagaimanapun, tiada sebarang keputusan lanjut di peringkat tertinggi Umno – berhubung keinginan Pemimpin Gerakan Baju Merah itu.

Pada pilihanraya lalu, Mohamed Azmin memperoleh kemenangan besar dengan majoriti undi sebanyak 4,044 mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Nadzim Ibrahim.