Categories
SELANGOR

Raih RM2.95 bilion, Selangor catat pertumbuhan hasil positif

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK 30 NOV : Selangor mencatatkan peningkatan hasil kutipan RM2.64 bilion bagi tempoh sehingga 28 November lalu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perolehan itu mencatatkan nilai pertambahan berbanding nilai unjuran asal RM2.55 bilion untuk tempoh 2017.

“Unjuran Selangor bagi perolehan sasaran kutipan hasil adalah RM2.55 bilion untuk 2017 ini. Tetapi setakat 28 November lalu, kita mencatakan jumlah perolehan RM2.95 bilion.

“Jumlah ini mencatatkan peningkatan positif dalam kutipan hasil negeri untuk tempoh ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada SelangorKini ketika ditemui pada Program Jelajah Peduli Rakyat peringkat Parlimen Gombak di Dataran Gombak Utara, Sungai Pusu, malam tadi.

Terdahulu, Kerajaan Negeri menjangkakan perolehan kutipan hasil meningkat 81.7 peratus untuk tempoh berakhir 2017.

Sasaran itu meliputi peningkatan hasil daripada kadar premium tanah (54.2 peratus), hasil cukai tanah (19.5 peratus) dan urusniaga berkaitan tanah (8.0 peratus).

Selain itu, hasil negeri turut disubmangkan oleh keuntungan pelaburan simpanan tetap (32.2 peratus) cukai hiburan (2.2 peratus) dan cukai hasil hutan daripada pengeluaran kuari sebanyak (1.9 peratus).

Sementara itu, tahun 2016 lalu menyaksikan perolehan RM2.25 bilion berjaya dicapai hasil anggaran pembentangan belanjawan lalu.