Categories
AGAMA SELANGOR

KPJ serah 20 kerusi roda kepada JAKESS mudahkan OKU berurusan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 NOV: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) menerima sumbangan 20 kerusi roda daripada empat pusat perubatan Kumpulan Perubatan Johor (KPJ).

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata, empat KPJ terbabit adalah KPJ Shah Alam, KPJ Damansara, KPJ Klang dan KPJ Ampang.

“Ini adalah satu usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang wajar dicontohi badan korporat lain dalam menyantuni golongan kelainan upaya (OKU)dan juga warga emas yang memerlukan kemudahan tersebut dalam melakukan urusan mereka termasuk di Mahkamah Syariah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran MCK Dan Penyerahan Sumbangan Kerusi Roda Bagi Kegunaan Orang kelainan Upaya di Mahkamah Syariah Selangor di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Hakim Syarie Selangor, Yang Amat Arif Mohd Adib Hussain, berkata kerusi roda itu akan diagihkan kepada ibu pejabat dan semua Mahkamah Rendah Syariah.

“Diharap semua penerima sumbangan ini menjaga kemudahan diberikan dengan baik bagi memastikan objektif meningkatkan lagi kualiti penyampaian dan perkhidmatan kepada seluruh masyarakat Selangor tercapai,” katanya.

Sebelum itu, pada majlis sama Yang Amat Arif Mohd Adib menerima sumbangan kerusi roda daripada wakil-wakil KPJ Klang, KPJ Shah Alam, KPJ Ampang Puteri dan KPJ Damansara sambil disaksikan Ahmad Yunus.

=EZY=