Categories
PBT SELANGOR

Lebih RM100,000 baik pulih Perhentian Bas Awam Bestari Jaya

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 NOV: Majlis Daerah Kuala Selangor sudah mengeluarkan tawaran kerja membaik pulih kemudahan Perhentian Bas Awam, di Pekan Bestari Jaya.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, ia dikeluarkan menerusi SH 121/2017 membabitkan kos RM104,740.

“Kerja akan dilaksanakan Kuala Indah Resource,” katanya di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Ijok, Dr Idris Ahmad berhubung rancangan Kerajaan Negeri membaik pulih perhentian bas berkenaan.

Menjawab soalan lain, Ean Yong berkata, hanya terdapat satu Pasar Rakyat dibuka setakat ini iaitu di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya membabitkan 55 usahawan.

“Sementara itu, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Daerah Hulu Selangor masih dalam pembinaan,” katanya.

Beliau merujuk pertanyaan lisan ADN Sabak, Sallehen Mukhyi berhubung pembangunan Pasar Rakyat, di seluruh Selangor.