Categories
AGAMA SELANGOR

LZS budayakan #kongsirezeki

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 NOV: Bertemakan #kongsirezeki, Lembaga Zakat Selangor (LZS) buat julung kalinya menganjurkan program Hari Bertemu Pelanggan 2017 di sini, hari ini.

Pegawai Bertanggungjawab Zakat Selangor merangkap Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid berkata, tema #kongsirezeki diperkenalkan untuk menghidupkan budaya berkongsi dalam masyarakat kepada golongan memerlukan.

“Disember dipilih kerana ianya bulan puncak di Zakat Selangor selain Ramadhan, jadi untuk merancakkan bulan itu dipilih dengan pengenalan tema #kongsirezeki.

“Seperti hari ini pelbagai rezeki LZS kongsikan kepada masyarakat awam antaranya perkongsian ilmu, dakwah, pemeriksaan kesihatan secara percuma jadi disini ia boleh dikatakan perkongsian bukan daripada wang ringgit sahaja,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media Hari Bertemu Pelanggan 2017 yang turut dihadiri Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Isa.

Abdul Basith berkata, #kongsirezeki akan terus dilaksanakan setiap tahun bertujuan menerapkan nilai murni dalam diri masyarakat untuk sentiasa bersedekah.

“Setakat ini 46,000 keluarga asnaf, fakir miskin dan muallaf berdaftar di bawah LZS yang disantuni setiap bulan,” katanya.

Disamping itu, Hari Bertemu Pelanggan 2017 membuka peluang kepada masyarakat mendapat khidmat nasihat kutipan dan agihan zakat serta mentaksir zakat harta sekali gus tunaikan kewajipan berzakat.

Antara pengisian program adalah pembukaan kaunter aduan zakat, gerai kerjaya untuk asnaf dan fakir miskin, sesi ‘open mic’ bersama pendakwah terkenal, Dato’ Dr Izhar Ariff Kashim, jualan kendera saji serta pemeriksaan kesihatan dari Universiti MAHSA.

=EZY=