Categories
SELANGOR

Kenapa Jamal boleh masuk sekolah?

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 NOV: Dato’ Iskandar Abdul Samad mempertikai kebenaran diperoleh Pemuda Umno Bahagian Pandan bagi menganjurkan program di Sekolah Kebangsaan Pandan Indah.

Ahli Dewan Negeri Cempaka itu berkata, Kementerian Pendidikan seharusnya lebih adil dan turut memberi peluang sama kepada parti lain untuk menganjurkan program di sekolah.

Katanya, sikap pilih kasih tidak sepatutnya dimiliki mana-mana kementerian dan jabatan kerajaan.

“Sebelum ini kami menerima laporan bahawa seorang guru diberikan surat tunjuk sebab kerana kononnya membawa pemimpin Kerajaan Negeri ke dalam sekolah,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Mohd Yunos didakwa hadir merasmikan program Khatan Perdana 2017 anjuran Pemuda Umno di sekolah berkenaan, awal hari ini.

Iskandar berkata, ibu bapa turut mempertikai kesesuaian Jamal terlibat dengan program di sekolah kebangsaan dan berinteraksi dengan pelajar.

Katanya, mereka melihat Jamal sebagai contoh tidak baik kepada generasi muda kerana terlibat dengan pelbagai kontroversi.

“Beliau terlibat dengan tindakan ganas seperti memecahkan botol di tempat awam iaitu di Bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Beliau juga mengadakan demonstrasi di situ dengan hanya bertuala.

“Maka wajar ibubapa membantah kehadiran Jamal di sekolah itu,” katanya.

=EZY=