Categories
PBT SELANGOR

MPSepang guna ‘minyak masak’ basmi Aedes

OLEH ERMIZI MUHAMAD

CYBERJAYA, 28 NOV: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama menggunakan kaedah minyak terpakai bagi menghapus pembiakan nyamuk Aedes di kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertuanya, Dato’ Puasa Md Taib berkata, kaedah itu dilaksanakan menerusi teknologi ‘Aedes Bio Based Fuel’ (ABBF) di bawah perancangan dan usahasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

“Kita menggunakan minyak masak terpakai sebagai Bio Based Fuel dan digunakan untuk semburan nyamuk.

“Peranannya sama seperti kaedah fogging, cuma kaedahnya sedikit berbeza menerusi penggunaan minyak terpakai.

“Pelaksanaannya dimulakan di bawah kempen Kitar Semula Minyak Masak Terpakai (KISMAT) yang dijalankan Jabatan Kesihatan dan Persekitaran dengan inisiatif pemprosesan diubah menjadi biodiesel melalui teknologi FRIM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pelancaran Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Rendah Karbon Cyberjaya 2025, di Cyberview Resort and Spa, hari ini.

Terdahulu, pelaksanaan kaedah itu jugak menyaksikan MPSepang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai PBT pertama menggunakan biodiesel untuk pembasmian Aedes.

Sebelumnya, teknologi itu dilaporkan membunuh nyamuk Aedes dengan lebih berkesan dan pada masa sama, mengurangkan kesan sampingan terhadap alam sekitar kerana kurang kandungan toksik.

Untuk tempoh itu, MPSepang memperuntukkan RM168,000 di bawah pembangunan projek itu bagi menghapuskan nyamuk Aedes secara berkesan berbanding penggunaan diesel biasa.

=EZY=