Categories
SELANGOR

MAIS lawat pelajar tajaan LZS di luar negara

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 NOV: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terbang ke Mesir dan Jordan bagi melawat pelajar tajaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) di sana, baru-baru ini.

Pengerusinya, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, lawatan yang diketuainya itu bertujuan memantau dan menjaga kebajikan pelajar disana.

Mohamad Adzib berkata, LZS memperuntukkan RM74,200 untuk Program Pembangunan dan Kecemerlangan Pelajar (PPKP) kepada pelajar tajaan LZS.

“LZS juga meluluskan Bantuan Kos Rawatan Perubatan RM151,000 setahun kepada pelajar yang menerima Dermasiswa Zakat Luar Negara yang masih dalam tajaan dengan kos rawatan sebanyak RM500 seorang bagi setiap tahun hingga tamat pengajian.

“Diharap dengan bantuan itu dapat meringankan beban yang dihadapai pelajar sekali gus membantu mereka lebih cemerlang dalam peperiksaan,” katanya menerusi laman rasmi MAIS.

Lawatan enam hari bermula 24 Oktober itu turut dihadiri Setiausaha MAIS, Dato’ Bakhtiar Hussin dan Pengarah Pengurusan Korporat, Ahmad Apandi Samsudin.

Pada masa sama, Mohamad Adzib mengingatkan pelajar supaya sentiasa menitik beratkan aspek keselamatan diri,peka dengan persekitaran dan kekalkan akidah Islam Ahli Sunah Wal-Jamaah.

Sehingga kini, 351 pelajar sedang menuntut di luar Malaysia dengan tajaan LZS.

Daripada jumlah itu, seramai 138 pelajar mengikuti pengajian di Mesir, manakala 183 pelajar mengikuti pengajian Pendidikan Islam di Jordan, 11 pelajar mengikuti Pengajian Bahasa Arab di Morocco dan 19 pelajar mengikuti pengajian perubatan di Indonesia.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 30 pelajar tergolongan dalam kalangan asnaf fakir dan miskin LZS.