Categories
SELANGOR

Menembak cara MPSJ rapat hubungan 

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG, 16 NOV: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menganjurkan Program Menembak Bersama Agensi Kerajaan dan Rakan Media MPSJ 2017, hari ini.

Pemangku Yang Dipertua (YDP) MPSJ, Mohammad Zulkurnain Che Ali berkata, acara tahunan itu diteruskan bagi membina hubungan dan kerjasama erat berterusan dengan pelbagai agensi kerajaan lain dan rakan media.

“Kerjasama erat yang terjalin mampu melancarkan lagi perkhidmatan semua agensi terlibat kepada masyarakat.

“Kadang kala hubungan sesama agensi ini ada pasang dan surutnya, namun berharap bermula hari ini kita dapat merapatkan lagi hubungan dan kerjasama antara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Menembak Bersama Agensi Kerajaan dan Rakan Media MPSJ 2017 di Lapangan Sasar, Jalan Padang Tembak, Lapangan Terbang Abdul Aziz Shah.

Terdahulu, kira-kira 100 pegawai dan kakitangan daripada pelbagai agensi kerajaan dan media menyertai program terbabit.

Antara agensi terlibat adalah, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Subang Jaya, PDRM Daerah Serdang, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Pendidikan Daerah Subang, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), SelangorKini, TVSelangor dan Sinar Harian.