Categories
SELANGOR

Tegas tuntut RM60 juta, selenggara PPR Lembah Subang 1

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 NOV: Kerajaan Negeri bertegas akan terus membuat tuntutan RM60 juta daripada Kerajaan persekutuan bagi menanggung kos penyelenggaraan dan baikpulih PPR Lembah Subang 1.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, untuk rekod, Majlis Bandaraya Petaling Jaya masih mengurus dan menyelenggara kawasan terbabit sehingga kini.

“Kita bertegas untuk menuntut RM60 juta dan MBPJ masih menyelenggara, mengutip sampah dan membersihkan kawasan pangsapuri itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan Negeri Selangor 2018.

Iskandar berkata, pihaknya juga akan mempertahankan penduduk yang didakwa diugut mengosongkan kediaman mereka jika enggan berdaftar di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Ada penduduk yang diugut jika tidak berdaftar dengan KPKT. Kerajaan Negeri akan mempertahankan mereka yang diugut kerana itu hak Kerajaan Negeri,” katanya.