Categories
NASIONAL

MB: Bonus RM2000, tahniah rakyat Pulau Pinang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 2 NOV: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyambut baik pengumuman Kerajaan Pulau Pinang yang menawarkan pembayaran bonus RM2,000 kepada penjawat awam cemerlang negeri itu.

Menulis di Twitter, Mohamed Azmin menyifatkan langkah itu sebagai pendekatan berkebajikan pimpinan Pulau Pinang dalam menghargai penjawat awam negeri.

“Tahniah @cmlimguangeng atas pengumuman bajet berkebajikan negeri. Jumaat ini giliran Selangor. Doakan kejayaan saya,” tulisnya.

Pagi ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam pengumuman belanjawan negeri mengumumkan pemberian bonus berkenaan diberikan kepada semua penjawat awam cemerlang dalam pentadbiran.

Ia turut membabitkan pembayaran kepada kakitangan cemerlang di agensi Pihak Berkuasa Tempatan, badan korporat dan agensi Kerajaan Negeri yang akan dibayar, pada hujung tahun ini.

“Kami tidak akan tunggu sampai tahun depan untuk bayar bonus bukan seperti Kerajaan Persekutuan yang tidak ada duit (untuk bayar dalam tahun ini). Mereka tidak tahu hendak urus wang. Belajarlah urus kewangan untuk bayar (bonus), dalam tahun sama,” katanya menyindir Putrajaya, lapor The Malaysian Insight.

Pada masa sama, Guan Eng turut mengumumkan bantuan tunai tahunan untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas dan orang kurang upaya (OKU) akan dinaikkan 30 peratus, bermula tahun depan.

Katanya, kenaikan itu dibuat selepas mempertimbangkan maklum balas daripada rakyat.

Sementara itu, Selangor bakal membentangkan Belanjawan Negeri 2018 di Dewan Negeri Selangor, pada 3 November ini.

Belanjawan 2017 menyaksikan Kerajaan Selangor mengumumkan pemberian bonus paling tinggi sebanyak dua bulan gaji.