Categories
SELANGOR

Pantau projek SPAH elak denggi

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 NOV: Pemaju terbabit dalam projek pembinaan sentiasa dipantau supaya mematuhi garis panduan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mengelak peningkatan kes denggi, di Selangor.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, tindakan dibuat melalui Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan Kesihatan Selangor (JKNS) bagi pemantauan, terutama pembinaan Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (SPAH).

“Semua pemaju perlu mematuhi garis panduan ditetapkan KPKT bagi tujuan berkenaan.

“Jika didapati pemaju mempunyai tempat pembiakan, penguat kuasaan akan diambil sama ada tindakan penutupan atau mahkamah tertakluk kepada arahan berkuat kuasa dari masa ke masa,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Baharu, Lee Kee Hiong dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Selangor sudah membangkitkan isu SPAH yang menjadi tempat pembiakan denggi ketika Mesyuarat Tindakan Denggi Negeri yang turut dihadiri wakil KPKT.

Pada masa sama, Daroyah berkata, pemeriksaan ke atas enam kawasan perumahan belum dan sudah diduduki di Klang yang mempunyai SPAH mendapati pelaksanaannya tidak sempurna dan tidak mematuhi krteria ditetapkan.

“Kekurangan pemantauan ketika pelaksanaan projek akhirnya menyebabkan sistem itu menjadi sebahagian punca pmbiakan Aedes.

“Mesyuarat Tindakan Denggi Negeri meminta KPKT meneliti dan memantau semula pelaksanaan dan penguat kuasaan ke atas semua projek membabitkan SPAH, terutama di Selangor serta memastikan spesifikasi kerja dipatuhi,” katanya.