Categories
SELANGOR

MB: Tak perlu main sentimen anti-Islam dan anti-Melayu

OLEH AFIX REDZUAN

KOTA KEMUNING, 12 NOV: Ruang perbahasan di peringkat jawatankuasa semasa usul Rang Undang-Undang Perbekalan Negeri Selangor 2018 sepatutnya dimanfaatkan Ahli Dewan Negeri (ADN) untuk bertanya secara terus tanpa perlu mengemukakan usul spesifik.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata usul memperkasakan institusi mahkamah syariah yang dibawa ADN Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak sepatutnya boleh dibahaskan dengan hujah lebih kuat di peringkat jawatankuasa.

Katanya, tidak perlu sentimen anti-Islam atau anti-Melayu dimainkan dalam isu berkenaan.

“Speaker memberitahu sesi kali ini menumpukan kepada belanjawan dan semua ADN diberikan ruang yang luas untuk membahaskan segala isu.

“Maka isu itu akan lebih kuat hujahnya di peringkat jawatankuasa sebab kita pergi (bincangkan) setiap butiran.

“Apabila masuk perkara memperkasa institusi kehakiman dan mahkamah syariah, disitulah peranan ADN untuk berbahas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penolakan usul memperkasa institusi mahkamah syariah pada sesi Dewan Negeri Selangor (DNS) awal minggu ini.

Sebelum ini, Speaker Dewan Negeri Selangor, Hannah Yeoh menolak usul itu kerana ia boleh dibahaskan ketika peringkat jawatankuasa tanpa perlu mengemukakan usul khas.

Beliau dalam satu sidang media turut menasihatkan semua ADN memahami peraturan mesyuarat dan tidak meninggalkan dewan sepanjang persidangan.

=EZY=