Categories
SELANGOR

MB sedia ke Pulau Pinang, hulur bantuan diperlukan rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 5 NOV: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bersedia turun ke Pulau Pinang bagi meninjau sendiri perkembangan dan menyampaikan keperluan mangsa banjir di negeri itu.

Bagaimanapun beliau berkata, beliau perlu menyemak semula jadualnya yang padat ekoran Dewan Negeri Selangor (DNS) sedang bersidang ketika ini.

“Saya telah pun memaklumkan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang secara rasmi kesediaan Kerajaan Negeri untuk membantu sebagai tanda simpati dan sokongan kita kepada rakyat Pulau Pinang yang berdepan dengan musibah banjir besar ini.

“Saya melihat keperluan yang perlu disampaikan dan saya bercadang untuk segera turun ke Pulau Pinang mungkin petang ini atau esok tetapi saya kena lihat jadual kerana kita ada sidang DNS tetapi saya kira ini satu musibah besar yang perlu diberi perhatian segera oleh Kerajaan Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Dan Jamuan Rakyat di Masjid Jami’ul Hasanat di Kampung Jaya Setia, Ijok di sini, hari ini.

Jelasnya, beliau juga telah mengarahkan kumpulan sukarelawan PANTAS supaya pergi ke Pulau Pinang dengan kadar segera untuk membantu mangsa banjir.

Katanya, beliau turut menghubungi Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi memgetahui bentuk bantuan lain yang diperlukan mangsa terlibat.

“Bagaimanapun saya juga telah menghubungi Exco Selangor yang bertanggungjawab dengan Kerajaan Tempatan untuk sedia menghantar semua keperluan kenderaan dan jentera daripada pihak berkuasa tempatan di Selangor untuk dihantar ke Pulau Pinang untuk kerja pemulihan dan pembersihan banjir di Pulau Pinang.

“Bantuan seterusnya, saya akan berbincang dengan Ketua Menteri Pulau Pinang dan juga Ahli Yang Berhormat Pulau Pinang apa bentuk bantuan yang diperlukan dalam keadaan yang getir satu dua hari ini,” katanya.

=EZY=