Categories
SELANGOR

#Selangor18: Pembangunan luar bandar terus diberikan fokus

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA SELANGOR, 5 NOV: Kerajaan Negeri memberi penekanan kepada pembangunan kawasan luar bandar supaya kemajuan Selangor dinikmati bersama oleh seluruh rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dalam pembentangan Belanjawan 2018, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM25 juta bagi tujuan berkenaan.

“Seperti diumumkan dalam belanjawan untuk tahun depan, kita memberi tumpuan besar kepada pembangunan desa.

“Saya tidak masuk kekayaan Selangor hanya dilimpahkan ke kawasan bandar sahaja maka peruntukan besar dibawa masuk ke kampung dan desa supaya orang di kawasan ini juga menikmati pembangunannya,” katanya dalam Majlis Ramah Mesra dan Pemyampaian Sumbangan di Arena Pasir Tuntong di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Mohamed Azmin menyampaikan sumbangan kepada 54 nelayan di kawasan itu.

Belau berkata, Kerajaan Negeri telah menggerakkan pelbagai program dan inisiatif demi manfaat warga nelayan di Selangor.

“Kita telah memberikan banyak bantuan sama ada dalam bentuk sokongan moral, kewangan dan peralatan kepada warga nelayan di Selangor.

“Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan terhadap perkara ini demi kebaikan dan masa depan golongan ini,” katanya.

=EZY=