Categories
SELANGOR

Rakyat terus nyata sokongan

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA SELANGOR, 5 NOV: Penyertaan ribuan rakyat dalam program jelajah peduli rakyat di daerah Sabak Bernam, membuktikan sokongan mereka terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri diterajui PAKATAN.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Negeri menghargai dokongan diberikan itu dan akan terus menunaikan tanggungjawab dengan penuh berintegriti bersesuaian dengan Belanjawan 2018 dibentangkan.

“Kehadiran ramai dalam program berkaitan wanita di Bagan Terap diikuti acara lain termasuk menonton perlawanan akhir Piala Malaysia dengan penyertaan golongan muda menandakan sokongan terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Kita menghargainya dan akan terus menjalankan pelbagai program demi rakyat seperti mana terkandung di dalam Belanjawan 2018,” katanya.

Program turun padang Dato’ Menteri Besar ke daerah ini bermula semalam dengan beberapa acara antaranya Program Dialog Pemberdayaan Wanita dan Pro Rakyat dan Penyampaian Inisiatif Peduli Rakyat di Dataran Niaga Bagan Terap dan menonton perlawanan akhir Piala Malaysia bersama orang ramai di Sungai Besar serta Tanjung Karang.

Ia bersambung hari ini dengan acara senaman sihat pagi di Bukit Melawati, lawatan ke Jeti Sky Mirror, penyampaian sumbangan dan mesra rakyat di Arena Pasir Tuntong dan Mengecat Bumbung Rumah Kedai di Bestari Jaya.

=EZY=