Categories
PBT SELANGOR

MBSA: Perbaharui segera lesen perniagaan

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 22 NOV: Pemegang lesen perniagaan di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dimohon segera memperbaharui lesen masing-masing, sebelum 1 Januari 2018.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, pemilik lesen diberi tempoh tiga bulan sebelum tarikh akhir lesen yang akan membabitkan 11,747 akaun, di bawah pentadbiran Majlis.

“MBSA kini sudah mula memproses pembaharuan lesen 2018 bagi lesen yang akan tamat pada 31 Disember 2017, justeru semua pemilik lesen perlu membuat pembaharuan mengikut tarikh ditetapkan bagi mengelakkan tindakan kompaun.

“Bagi memudahkan pembayaran pembaharuan lesen, MBSA akan membuka kaunter pembayaran di Kaunter Utama, Tingkat G, Wisma MBSA, Kaunter Jabatan OSC, Tingkat LG, Wisma MBSA, Kaunter Jabatan Pelesenan, Tingkat 13, Wisma MBSA, Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Seksyen 20, dan Pejabat Cawangan Kota Kemuning, Seksyen 31, Shah Alam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, caj pengaktifan lesen bagi pemilik yang menjelaskan pembayaran selepas tarikh itu adalah RM50 untuk lesen perniagaan (termasuk lesen anjing) atau RM100 bagi lesen perindustrian.

Shahrin berkata, bayaran lesen boleh dibuat untuk tempoh satu, dua atau tiga tahun bergantung kepada jenis lesen.

Sebarang pertanyaan berkaitan pembayaran pembaharuan lesen boleh hubungi Jabatan Pelesenan MBSA di talian 03-55105133 sambungan 1403, 1485 dan 1702.