Categories
PBT SELANGOR

Pusat urut antara ratusan premis gagal dapat lesen, ubah suai tanpa kebenaran

SHAH ALAM, 19 JAN: Mengubah suai premis tanpa kebenaran antara sebab permohonan lesen perniagaan ditolak oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sepanjang tahun lalu.

Antara premis terlibat ialah pusat urut tradisional, perindustrian, kedai makan dan kedai gunting rambut, kata Pegawai Perhubungan Awamnya Kamarul Izlan Sulaiman.

“Mereka juga dikesan membuat permohonan perniagaan lain tetapi ketika beroperasi perniagaan jenis lain pula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah pihaknya mengeluarkan 300 notis amaran dan surat pemakluman lesen ditolak selain
135 kompaun kerana berniaga tanpa lesen serta lesen tamat tempoh.

Kamarul Izlan turut memberi amaran akan mengambil tindakan tegas dengan menyita premis berkenaan jika masih gagal mematuhi arahan ditetapkan.

“Dalam notis tersebut pihak jabatan menyenaraikan sebab lesen ditolak dan perkara yang perlu pemohon patuhi untuk pertimbangan kelulusan lesen perniagaan,” katanya lagi.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ: 2,408 mohon lesen dalam talian sepanjang PKP

SHAH ALAM, 16 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerima 2,408 permohonan lesen perniagaan secara dalam talian sepanjang Januari hingga Jun.

Penolong pengarah komunikasi korporatnya berkata dari jumlah itu hampir 60 peratus membabitkan 1,392 pemohon iklan dan permit sementara.

“Itu merupakan permohonan tertinggi daripada peniaga diikuti  tred-pejabat pengurusan sebanyak 1,016. Permohonan secara talian ini dibuka setiap masa bagi memudahkan urusan orang awam,” kata Ahmad Iskandar Mohamad Mukhtar kepada SelangorKini.

MBPJ menyediakan perkhidmatan permohonan secara dalam talian itu sepanjang masa merangkumi lesen iklan luaran, iklan sementara, tred-pejabat pengurusan, establisymen makanan dan permit usahawan mikro.

Langkah ini juga dapat mengawal dan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dengan kalangan masyarakat.

Pemohon boleh menghubungi Jabatan Pelesenan di talian 03-79541560 atau emel kepada [email protected] untuk pertanyaan lanjut.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ: Peniaga boleh mohon lesen dalam talian sepanjang PKP

SHAH ALAM, 10 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyediakan perkhidmatan permohonan lesen perniagaan secara dalam talian yang dibuka sepanjang masa.

Sekretariat unit komunikasi korporat berkata permohonan merangkumi lesen iklan luaran, iklan sementara, tred-pejabat pengurusan, establisymen makanan dan permit usahawan mikro.

Pemohon boleh menghubungi Jabatan Pelesenan di talian 03-79541560 atau emel kepada [email protected] untuk pertanyaan lanjut.

“Perkhidmatan dalam talian ini merupakan inisiatif majlis untuk memudahkan peniaga memohon lesen perniagaan.

“Di samping itu, dapat mengawal dan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dengan masyarakat tidak perlu keluar rumah terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD),” menurut kenyataan jabatan tersebut.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Sedia lulus lesen sementara niaga hadapan rumah, hanya pandu lalu

SHAH ALAM, 16 SEPT: Kerajaan Negeri akan membuka permohonan lesen sementara kepada peniaga bagi menjalankan perniagaan di hadapan rumah.

EXCO pembangunan usahawan berkata inisiatif itu diluluskan pada Mesyuarat Exco dua minggu lalu membolehkan mereka berniaga tanpa perlu mencari lokasi lain khususnya di tepi jalan yang dibimbangi boleh mengganggu aliran trafik.

“Usaha ini untuk menggalakkan peniaga-peniaga tampil ke hadapan memohon lesen dan mematuhi beberapa peraturan seperti membuat suntikan (tifoid) jika menjual makanan serta mematuhi aspek kebersihan.

“Lesen itu kita beri setahun dan perlu diperbaharui setiap tiga bulan untuk kita lihat mereka konsisten berniaga atau tidak. Mereka hanya dibenarkan berniaga secara pandu lalu sahaja,” kata Rodziah Ismail ketika Majlis Dialog Grow 2020 di Dewan Jubli Perak semalam.

Beliau menjelaskan menerusi insiatif ini juga peniaga yang konsisten berpeluang ditawarkan tempat yang lebih strategik bagi meneruskan perniagaan sekiranya berminat.

Rodziah berkata pengumuman rasmi mengenai program ini akan dibuat Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dalam masa terdekat.

Categories
PENDAPAT RENCANA

Berniaga jadi pilihan jana pendapatan pasca PKP

Oleh Muhammad Basir bin Roslan

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Masih ingat lagikah laporan berita yang menjadi viral baru-baru ini, mengenai seorang peniaga wanita, Che Minah yang melakukan sujud syukur saat beliau menerima lesen perniagaan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)?

Che Minah yang menjual pelbagai makanan asli Pantai Timur seperti nasi dagang dan nasi kerabu turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa kerana memudahkan urusannya mendapatkan lesen itu setelah penantian selama 35 tahun.

Kisah beliau banyak membuka mata ramai pihak kerana kegigihannya terus mencari rezeki buat ahli keluarga selain tidak pernah berputus asa memohon lesen perniagaan sah. Penantian yang akhirnya membuahkan hasil dan kini beliau boleh berniaga tanpa perlu risau dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.

Namun bagaimana pula nasib ramai lagi penjaja atau peniaga yang masih tidak mempunyai lesen perniagaan? Apakah mereka juga perlu menunggu sekian lama untuk mendapat lesen sah untuk berniaga?

‘Trend’ Baharu

Satu perkembangan amat menarik berlaku selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Julai lalu.

Di kebanyakan kejiranan, trend baharu kemunculan begitu banyak gerai di tepi dan bahu jalan. Sebagai contoh, tinjauan berhampiran kawasan perumahan penulis di Taman Dato Ahmad Razali, Ampang selepas pengumuman PKPP mendapati terdapat lebih 10 penjaja berbanding hanya dua atau tiga orang sebelumnya.

Mungkin ada antara mereka yang kehilangan sumber mata pencarian semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Begitu juga ada peniaga yang terpaksa “menggulung tikar” sehingga terpaksa “bertatih” semula dengan berniaga di tepi-tepi jalan.

Malah ada anak-anak muda yang memulakan inisiatif untuk perniagaan trak makanan food truck dengan menawarkan “menu hipster atau fusion”, sasaran tertumpu kepada pelanggan generasi muda.

Menu makanan tersebut merupakan kombinasi menu masakan asal dengan cita rasa moden. Antara yang popular adalah murtabak cheese leleh, air milo dinasour, kerabu maggi, manggo milk shake, air teh dengan boba, burger ketam lembut dan burger serunding.

Penulis dapat merasakan mereka mendapat inspirasi daripada kisah Che Minah ini, dan hasilnya semakin banyak trak di tepi-tepi jalan yang menjual aneka makanan, minuman dan buah-buahan, tidak kurang ada juga yang membuka khemah perniagaan kecil.

Apakah punca yang menyumbang kepada peningkatan secara drastik jumlah penjaja tepi jalan ini pasca Covid-19, dan rata-ratanya mereka yang berniaga adalah dari bangsa Melayu dan masih muda?

“Cendawan Tumbuh Selepas Hujan”

Menurut Datuk Seri Rosli Sulaiman, Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, ada beberapa faktor utama yang menjadi sebab mengapa jumlah penjaja tepi jalan semakin bertambah bagaikan cendawan yang tumbuh subur selepas hujan.

Antaranya, kehilangan pekerjaan terutama sepanjang pelaksanaan PKP dan PKPB akibat syarikat yang terpaksa memberhentikan pekerja sendiri bagi mengurangkan beban kos.

Menurut Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), kehilangan pekerjaan di negara ini meningkat sebanyak 42 peratus untuk suku pertama tahun ini.

SIP turut memaklumkan pandemik Covid-19 menjejaskan banyak perniagaan.

“Pasca PKP contohnya, berapa ramai yang dibuang kerja? Bagaimana mahu meneruskan kehidupan? Ramai yang masih muda dan punya kudrat, jadi jalan mudahnya adalah menjalankan perniagaan dengan menjaja di tepi jalan, ini semua untuk survival dan mencari rezeki halal,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, Rosli menyifatkan mereka ini sebagai ‘penjaja ekspres’ kerana hanya berniaga buat sementara waktu sahaja. Berkemungkinan besar mereka akan berhenti berniaga apabila berpeluang mendapatkan pekerjaan lain yang lebih stabil dan bergaji tinggi.

Faktor lain adalah kerana modal permulaan dan kos yang perlu ditanggung penjaja tepi jalan untuk memulakan perniagaan lebih rendah berbanding pengusaha restoran atau kedai makan.

Menurut Rosli, keuntungan yang boleh diperolehi hasil jualan harian oleh penjaja tepi jalan ini tidaklah berapa menguntungkan, ‘hanya cukup-cukup makan’ ataupun ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

“Kebiasaannya, purata hasil keuntungan mereka ini hanyalah sekitar RM100-RM150 sehari, dan mungkin hanya boleh mencecah kurang RM5,000 sebulan. Tidaklah cukup jika dibandingkan dengan kos sara hidup di bandar seperti Kuala Lumpur ini. Itu belum dikira jika perlu mengambil kos ambil lesen berniaga, gaji pekerja (jika ada) serta kos lain yang berkaitan,” jelasnya.

Mudahkan Peniaga Berniaga

Rosli yang juga Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia (G3PM) turut menyarankan agar pihak berkuasa terutamanya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memudahkan urusan mereka yang ingin berniaga.

Ini, katanya, kerana ada dalam kalangan mereka yang berbuat demikian hanyalah untuk meneruskan kelangsungan hidup diri serta keluarga.

“Memang benar kita sedang membantu kerajaan memerangi Covid-19, namun ekonomi negara perlu turut dijana semula secara berperingkat. Kita ambil contoh jika sesuatu kawasan itu sudah diisytihar kawasan hijau dan bebas Covid-19, berilah kebebasan kepada mereka untuk berniaga dan menjaja di tepi jalan tanpa perlu melalui syarat yang ketat. Asalkan mereka dapat mematuhi SOP, itu pada saya sudah cukup memadai.

“Paling penting sekarang, kita perlu berusaha naikkan semula ‘mood’ membeli rakyat dan menghapuskan rasa takut mereka untuk keluar membeli-belah. Dengan itu, semua pihak akan mendapat keuntungan bersama dan ekonomi negara dapat dijana kembali,” tambahnya.

Rosli turut menyarankan agar kerajaan terus berusaha habis-habisan membanteras warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram kerana ia menjejaskan pendapatan rakyat negara ini.

“Amatlah tidak adil sekiranya warga asing ini dibenarkan berniaga terutama mereka yang berniaga secara haram. Mereka ini kebanyakannya tidak membayar cukai pendapatan, tiada lesen perniagaan sah dan tidak membayar kos syarikat penyelenggaraan kebersihan seperti Alam Flora.

‘Kasihanilah rakyat kita yang berusaha mencari sesuap rezeki pasca Covid-19 terutamanya yang menjaja di tepi jalan. Ini kerana kewujudan warga asing ini sudah pastinya mengganggu periuk nasi mereka. Ramai lagi rakyat negara ini yang perlu diberikan bantuan dan didahulukan,” katanya.

Gigih Berusaha

Mereka yang menjaja dan berniaga mempunyai pelbagai kisah kehidupan sebelum dan selepas pelaksanaan PKP.

Peniaga laksa, Samsuri Shaari, 59, yang berniaga di Taman Tasik Tiwangsa, Kuala Lumpur sejak lapan tahun lalu berkongsi pengalamannya dengan penulis.

Beliau begitu bersyukur apabila kerajaan mengumumkan pembukaan kembali lebih banyak sektor ekonomi terutamanya sektor perniagaan sejurus PKPP dilaksanakan.

Samsuri menjalankan perniagaan ‘Laksa Van Biru’ dengan dibantu isteri dan tiga orang anak lelakinya.

“Alhamdulillah syukur sangat perniagaan saya dapat beroperasi sepenuhnya selepas PKPP diumumkan. Bayangkanlah tiga bulan ketika PKP tidak dapat keluar berniaga memandangkan inilah satu-satunya punca pencarian saya untuk keluarga.

“Ketika tempoh tidak dapat berniaga itu, saya hanya mengharapkan duit RM1,600 dari Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang saya terima pada Mei dan terpaksa juga bergantung pada duit simpanan yang ada. Tidaklah dapat saya bayangkan nasib kami jika PKP dipanjangkan tempohnya, ” katanya.

Samsuri yang berasal dari Teluk Intan, Perak itu turut berkata setakat ini, inilah yang termampu dapat beliau lakukan demi mencari sesuap nasi, dan juga untuk menanggung perbelanjaan anak-anaknya yang masih belajar.

“Perniagaan kecil sebegini memerlukan modal harian sekitar RM300, dan hasil jualan harian cumalah sekitar RM600. Makan dengan hasil untung RM300 itulah saya simpan untuk anak-anak.

“Saya perlu terus gigih berusaha demi pembelajaran mereka, dan juga menunaikan impian saya untuk membuka kedai sendiri di UTC Keramat, suatu hari nanti,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut berharap supaya kisah pahit getir hidupnya dapat dijadikan teladan oleh orang lain untuk turut berusaha memperbaiki taraf hidup kehidupan dan seterusnya dapat memajukan ekonomi negara dengan lebih mampan terutama pasca COVID-19 ini.

Cabaran Getir

Lain pula kisahnya peniaga makanan berlauk, Melyana Hafiza Hafid, 19, yang terpaksa berniaga secara sepenuh masa selepas beliau mengambil keputusan untuk berhenti bekerja.

“Dulu saya bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat, namun atas banyak sebab saya akhirnya berhenti kerja dan berniaga bagi membantu ibu. Di pejabat lama saya bekerja dahulu, ramai juga yang terpaksa diberhentikan kerja terutama selepas PKP kerana ekonomi syarikat yang agak tidak stabil.

“Namun saya bersyukur kerana rezeki tidak putus-putus datang menerusi pelanggan yang sering datang membeli makanan yang saya jual, Walaupun saya kerja dari pagi hingga malam tapi saya berasa puas dengan pekerjaan sekarang kerana dalam masa yang sama saya turut membantu ekonomi negara,” katanya kepada Bernama. Beliau menjalankan perniagaan trak makanan di Ampang, Selangor.

Wanita gigih ini menasihati mereka yang baru mula berkecimpung dalam dunia perniagaan untuk sentiasa bekerja keras dan jangan sekali-kali mudah berputus asa kerana apa yang paling penting adalah mencari rezeki yang halal untuk keluarga.

“Tidak mengapa sekiranya ada antara kita yang mengambil keputusan untuk berniaga sementara waktu ini mungkin kerana baru diberhentikan kerja.

“Yang penting kita bekerja secara halal dan tidak menyusahkan orang lain. Nanti ada peluang dan rezeki dapat pekerjaan yang lebih baik, maka pilihlah apa yang terbaik untuk diri, keluarga dan negara,” katanya.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

Segera perbaharui lesen perniagaan atau berdepan tindakan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 14 NOV: Semua pemilik atau pemegang lesen perniagaan di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) digesa supaya memperbaharui lesen perniagaan bagi tahun 2019 mulai 1 November hingga 31 Disember ini.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, pemegang lesen perlu segera berbuat demikian bagi memastikan tidak dikenakan sebarang tindakan penguatkuasaan.

Katanya, denda sebanyak 20 peratus daripada kadar lesen akan dikenakan terhadap pemilik lesen yang membuat bayaran pada 1 Januari hingga 28 Februari 2019.

“Peniaga yang tidak memperbaharui lesen perniagaan mulai 1 Mac 2018 lesen mereka akan terbatal dan perlu membuat permohonan baharu kepada MDKL,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Zain berkata, pemegang lesen turut diingatkan supaya membawa semua dokumen berkaitan bagi memudahkan urusan semasa proses pembaharuan.

“Ia termasuk notis pembaharuan lesen, salinan lesen 2018, gambar berukuran passport, wang tunai/bank draf/kiriman wang/cek, sijil/kad suntikan anti demam, kepialu (untuk lesen restoran, kedai makanan, penjaja dan lain-lain pengusaha makanan), permit polis (untuk menjual barang lusuh, kenderaan terpakai) dan resit pembayaran sewa premis MDKL/pengesahan daripada Jabatan Penilaian MDKL.

“Selain itu, resit pembayaran sewa letak kereta (untuk lesen memberi perkhidmatan tayar dan menjual aksesori kereta), bukti pembelian perangkap minyak (untuk lesen restoran dan kedai makan), menjelaskan apa-apa kompaun (sekiranya ada sebelum membuat bayaran lesen) dan T.O.L terkini/kelulusan bangunan (jika bangunan di atas tanah kerajaan/persendirian).

“Surat pendaftaran daripada Kementerian Pelancongan perlu dikemukakan bagi pembaharuan lesen hotel dan juga sijil/pengesahan Kebenaran Merancang (KM) bagi hotel/tadika/taska/pusat jagaan,” katanya.

Sementara itu, bagi tujuan memperbaharui lesen kilang, beliau turut mengingatkan kepada pemilik atau operator kilang supaya mengepilkan surat lantikan kontraktor bagi tujuan pelupusan sisa pepejal yang diiktiraf MDKL.

Katanya, ia perlu bagi memastikan kilang terbabit melupuskan sisa pepejal di tempat dibenarkan sahaja, sekali gus mengelakkan aktiviti pelupusan sisa kilang secara tidak sah.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA: Perbaharui segera lesen perniagaan

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 22 NOV: Pemegang lesen perniagaan di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dimohon segera memperbaharui lesen masing-masing, sebelum 1 Januari 2018.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, pemilik lesen diberi tempoh tiga bulan sebelum tarikh akhir lesen yang akan membabitkan 11,747 akaun, di bawah pentadbiran Majlis.

“MBSA kini sudah mula memproses pembaharuan lesen 2018 bagi lesen yang akan tamat pada 31 Disember 2017, justeru semua pemilik lesen perlu membuat pembaharuan mengikut tarikh ditetapkan bagi mengelakkan tindakan kompaun.

“Bagi memudahkan pembayaran pembaharuan lesen, MBSA akan membuka kaunter pembayaran di Kaunter Utama, Tingkat G, Wisma MBSA, Kaunter Jabatan OSC, Tingkat LG, Wisma MBSA, Kaunter Jabatan Pelesenan, Tingkat 13, Wisma MBSA, Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Seksyen 20, dan Pejabat Cawangan Kota Kemuning, Seksyen 31, Shah Alam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, caj pengaktifan lesen bagi pemilik yang menjelaskan pembayaran selepas tarikh itu adalah RM50 untuk lesen perniagaan (termasuk lesen anjing) atau RM100 bagi lesen perindustrian.

Shahrin berkata, bayaran lesen boleh dibuat untuk tempoh satu, dua atau tiga tahun bergantung kepada jenis lesen.

Sebarang pertanyaan berkaitan pembayaran pembaharuan lesen boleh hubungi Jabatan Pelesenan MBSA di talian 03-55105133 sambungan 1403, 1485 dan 1702.

Categories
SELANGOR

Kaunter baharui lesen perniagaan MPK 2015 dibuka bermula 2 September

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 28 OGOS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan membuka kaunter pembaharuan lesen perniagaan dan iklan bagi tahun 2015 bermula 2 September hingga 31 Disember ini.

Pengarah Jabatan Komunikasi dan Pengaduan Awam MPK, Norfiza Mahfiz, berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu akan membuka kaunter di beberapa lokasi terpilih bagi memudahkan orang ramai berurusan dengan mereka.

“Antara lokasi berkenaan adalah di GM Klang, Shaw Centrepoint, Centro, Kompleks Giant Hyper Market, Bukit Raja, Aeon Bukit Tinggi, Tesco Bukit Tinggi, Harbour Place dan Klang Parade.

Norfiza-Mahfiz-(MPK)“Semua lesen boleh diperbaharui pada waktu itu kecuali beberapa lesen antaranya rumah urut dan refleksologi, hiburan, pusat siber, besi buruk, premis makanan, tadika serta kilang tanpa izin.

“Semua lesen dikecualikan itu hanya boleh diperbaharui pada waktu pejabat sahaja dan orang ramai boleh datang ke kaunter pada hari bekerja,” katanya dalam kenyataan kepada Selangor Kini.

Selain daripada itu, Norfiza berkata, kaunter juga akan dibuka pada hari Sabtu dan Ahad.

Katanya, pihak berkenaan boleh menyemak jadual di laman sesawang MPK atau facebook Saluran Komunikasi MPKlang untuk mengetahui waktu dan hari bagi pembayaran di situ.

-NFN-