Categories
SELANGOR

TAFES usaha memasyarakatkan isu denggi

OLEH LIZAWATI MADFA

SEPANG, 22 NOV: Usaha memasyarakat isu denggi dalam kalangan rakyat terus diperhebat menerusi program Taska Free Aedes (TAFES).

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, inisiatif diperkenal Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) itu bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan awal berhubung isu denggi kepada murid taska.

Katanya, mereka, melalui guru akan dibekalkan dengan Kit Mesej Waspada Denggi.

“Ia bertujuan menarik minat anak-anak ini mempelajari asas demam denggi dengan mengetahui sifat, punca, cara mengatasi dan bahaya nyamuk aedes.

“Kita mahu semua sedar bahawa gejala ini tidak mampu dibenteras dengan hanya mengharapkan satu pihak semata-mata, sebaliknya ia memerlukan komitmen setiap lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian TAFES di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi, di sini, baru-baru ini.

Beliau turut menyempurnakan pengenalan Superhero MPSepang dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Majlis Sebagai Pengerusi Denggi Zon.

Sebelum ini, program Aedes BioBased Fuel (ABBF) yang diinisiatifkan MPSepang merangkul pingat emas menerusi 45th International Invention Of Innovation Of Geeneva.

Ia turut menerima pengiktirafan The Malaysia Book Of Records dan menjuarai Anugerah Inovasi Pihak Berkuasa Tempatan.

Program lain termasuk Dengue Action Community (DAC), Dengue Action Kids (DAK), Bas Sekolah Tanpa Aedes (Batas) dan Tapak Bina Sejahtera (Tabas).

=EZY=