Categories
SELANGOR

MDKL sokong penuh kerjasama pulihara hutan paya laut

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LANGAT, 30 NOV: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) sentiasa memberi sokongan penuh terhadap usaha Jabatan Perikanan Negeri Selangor menjalankan kerja penanaman tumbuhan semulajadi di hutan paya laut.

Yang Dipertua MDKL, Mohammad Zain A Hamid berkata, program penanaman tumbuhan semulajadi hutan paya laut itu melibatkan kepentingan semua pihak termasuk nelayan di daerah itu.

“MDKL sentiasa menyokong program penjagaan dan pemuliharaan ekosistem yang dijalankan pagi ini untuk kepentingan bersama dan ini merupakan siri pertama sebelum diikuti dengan siri berikutnya,” katanya.

Mohamad Zain berkata demikian pada Program Penanaman Flora Di Kawasan Paya Bakau – Ecosytem Apporch to Fisheries Management Siri 1, di Pantai Kelanang di sini, hari ini.

Jelasnya, program anjuran Jabatan Perikanan Negeri Selangor dan MDKL dengan kerjasama Jabatan Perhutanan usaha itu juga selaras dengan Agenda Tempatan 21 (LA 21) yang turut menggariskan pelan usaha pemuliharaan alam sekitar termasuk hutan paya laut.

Pegawai Perhutan Daerah Pantai Klang, Mardiana Salihah Marzuki, pula berkata, program siri pertama yang diadakan hari ini melibatkan kerja penanaman pokok api-api.

“Pokok api-api adalah spesis semulajadi untuk hutan paya laut dan selepas ini diikuti dengan penanaman apesis pokok bakau kurap dan bakau minyak.

“Dalam al-Quran juga ada disebut dalam hutan paya laut ada kehidupan di mana hutan ini juga menjadi habitat haiwan lain seperti ketam dan lain-lain,” katanya.

Jelasnya, hutan paya laut turut bertindak sebagai penampan kepada gelombang tsunami dan mengelakkan hakisan ombak.

Katanya, pada program kali ini Jabatan Perhutanan Selangor menyediakan 200 pokok api-api dalam program melibatkan pelbagai golongan masyarakat khususnya pelajar institusi pengajian tinggi.

Ketua Cawangan Pengurusan dan Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Negeri Selangor, Zaki Harun pula menyifatkan langkah ini membantu meningkatkan habitat semulajadi hidupan marin.

“Golongan nelayan juga berharap ada penambahan sumber habitat ikan seperti hutan laut ini bagi memastikan kelangsungan ekosistem.

“Statistik penangkapan ikan boleh dikatakan meningkat tahun ini mungkin disebabkan migrasi dan ditambah pula tiada jerebu pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya menyebabkan nelayan dapat turun ke laut lebih kerap,” katanya.

Jelasnya, hutan laut menjadi habitat semulajadi untuk anak-anak ikan membesar sebelum berpindah ke bahagian laut lebih dalam apabila dewasa.