Categories
NASIONAL

Bagaimana hampir RM20 bilion disembunyikan bertahun lamanya?

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PAKATAN) mengakui terkejut dengan penemuan kerugian berjumlah RM31.5 bilion oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian urus niaga mata wang asing (FOREX) Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990an.

Ahli Parlimem Bagan, Lim Guan Eng berkata, beliau pernah membahaskan perkara itu dahulu di Dewan Rakyat dan ketika itu kerugian dianggarkan berjumlah RM10.7 bilion.

“Macam mana boleh sembunyikan hampir RM21 bilion dalam mana-mana akaun. Persoalan ini serius untuk dibangkitkan.

“Bukan mudah menyembunyikan hampir RM21 bilion bertahun lamanya. Terlalu banyak skandal yang berlaku seperti 1MDB dan Felda, takkan kita perlu menunggu 20 tahun lagi baru nak tubuhkan RCI dan mengetahui perkara sebenar,” katanya pada sidang media di Pusat Media Parlimen.

Menurutnya, isu ini perlu dibentangkan serta dibahaskan di Dewan Rakyat dan beliau akan memberikan surat pemberitahuan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Azalina dalam jawapanya berkata akan memutuskan perkara itu selepas menerima surat daripada Guan Eng walaupun ia tidak berada dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

“Apa yang dibawa (Ahli Parlimen) Bagan agak baru, surat pun saya tidak terima. Beri saya sedikit masa,” kata Azalina.

Dalam sidang media sama, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempersoalkan tindakan memberikan laporan berkenaan kepada semua Ahli Parlimen di hari terakhir persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, laporan ini sudah dikeluarkan pada 13 Oktober lalu dan sepatutnya diberikan pada hari pertama persidangan pada 23 Oktober lalu.

“Saya melahirkan rasa terkejut laporan ini dibentangkan pada hari terakhir persidangan Parlimen.

“Laporan ini memberikan beberapa syor yang mengekutkan. Kita minta ia dibahaskan tetapi Azlina kata akan jawab kemudian.

“Kita harap perkara penting ini diberikan ruang untuk dibahaskan,” katanya.

Dokumen laporan RCI FOREX setebal 524 muka surat hanya diberikan kepada semua Ahli Parlimen hari ini dan berada dalam status embargo sehingga jam 1 tengahari tadi.

Panel laporan RCI dianggotai lima orang panel yang diketuai oleh Tan Sri Mohd Sidek Hassan antaranya mengesyorkan polis membuka siasatan rasmi terhadap kemungkinan berlaku kesalahan pecah amanah dalam urusan tersebut.