Categories
PBT SELANGOR

MPAJ laksana program anti rasuah capai IBR

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) giat melaksanakan program dan aktiviti berteras anti rasuah bagi mencapai objektif Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Yang Dipertuanya, Abd Hamid Hussain, berkata pelaksanaannya untuk menerap nilai mahmudah dan menghindari dari sifat mazmumah kepada warga kerja MPAJ.

“MPAJ turut memperbanyakkan kursus dan program integriti, sahsiah penjawat awam dan yang lain bagi meningkatkan sifat integriti di kalangan kakitangan.

“Selain itu, kita telah menjalankan beberapa kawalan dalaman antaranya Ikrar Integriti Korporat (CIP), penubuhan Unit Integriti, kawalan audit dalaman dan Audit Kawalan Perolehan yang dijalankan Audit Negeri Selangor,” katanya dalam Majlis Ikrar Bebas Rasuah MPAJ bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di sini, hari ini.

Di sepanjang tahun lalu hingga kini, katanya, melalui Unit Integriti ditubuhkan, empat kakitangan telah diambil tindakan buang kerja dan 15 yang lain dikenakan hukuman tatatertib olej Jawatankuasa Tatatertib MPAJ.

Beliau menjelaskan, MPAJ juga melaksanakan kaedah pertukaran kakitangan dan pegawai mengikut risiko jabatan dan berharap semuanya menyahut langkah proaktif dalam merealisasikan IBR.

“IBR menekankan mengenai ikrar dan janji yang dilaksana kepimpinan organisasi dan warga kerja di mana ia adalah sukarela di atas kapasiti sebagai individu itu sendiri.

“Hal ini untuk memastikan individu menadatangani ikrar lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada SPRM Selangor kerana memberi ruang kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menjalin kerjasama menjayakannya.

Turut hadir, Pengarah SPRM Selangor, Dato’ Wan Ramli Wan Abdullah.

=EZY=