Categories
PBT SELANGOR

MPSepang dahului PBT Malaysia, laksanakan agenda pembangunan hijau

OLEH ERMIZI MUHAMAD

CYBERJAYA, 28 NOV: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mendahului komitmen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negara dalam menjayakan inisiatif perbandaran rendah karbon di Malaysia.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, inisiatif itu dijayakan menerusi agenda pembangunan Smart City Cyberjaya yang didukung sepenuhnya di peringkat Kerajaan Negeri.

“MPSepang merupakan PBT paling aktif melaksanakan inisiatif bandar hijau, bandar pintar dan karbon rendah negara.

“Jika dibandingkan dengan PBT seluruh Malaysia, boleh dikatakan MPSepang mendahului inisiatif ini menerusi pembangunan baru di Cyberjaya yang menjurus ke arah pembangunan pintar dan hijau di Selangor.

“Oleh itu, kita mengharapkan seluruh PBT lain di Selangor boleh melaksanakan kaedah sama untuk menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri Smart State dan rendah karbon,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media Pelancaran Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Rendah Karbon Cyberjaya 2025, di Cyberview Resort and Spa, hari ini.

Majlis perasmian turut disaksikan Yang Dipertua MPSepang, Dato’ Puasa Md Taib dan Pengarah Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah.

Terdahulu, pelancaran Pelan Tindakan itu menyaksikan tujuh komponen utama diperkenalkan sebagai inisiatif utama ke arah merealisasikan agenda itu.

Ia meliputi pengurusan pengangkutan pintar, galakan perjalanan kaki, pembangunan kompak, pembangunan padat dan campuran, pengurusan pintar, pengurusan bangunan hijau, dan galakan warga komuniti.

Dato’ Puasa Md Taib berkata, perancangan pelan itu bakal menjadikan daerah Sepang sebagai daerah keenam di Selangor mengaplikasikan dasar rendah karbon di negeri itu.

Ia sebelumnya dilaksanakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

“Jadi pelbagai program telah kita laksanakan untuk memastikan kadar 40 peratus pengurangan karbon yang dicadangkan di peringkat Persekutuan mampu dilaksanakan.

“Pada masa sama, kita berharap komuniti, pemaju dan seluruh warga Sepang dapat memperbanyakkan lagi pelan pembangunan dan kehidupan hijau untuk merealisasikan hasrat ini,” katanya.

=EZY=