Categories
SELANGOR

MB: Perancangan bandar perlu patuhi EIA dan SIA

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 NOV: Perancangan bandar perlu mengambil berat kehendak dan kepatuhan kepada Environmental Impact Assessment (EIA) dan juga Social Impact Assessment (SIA).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kecuaian mematuhi kehendak EIA dan SIA akan mengakibatkan gejala ‘the revenge of nature’, malapetaka seperti tanah runtuh, banjir kilat dan kemusnahan alam sekitar.

Katanya, semua perancangan di Selangor hendaklah direncanakan secara bertanggungjawab dan bersifat mesra alam.

“Ia perlu dilaksanakan secara lestari demi menjamin kehidupan masyarakat bandar dan desa yang berdayahuni (liveable).

“Perancangan juga perlu bersifat holistik dengan mengambil kira semua aspek kehidupan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, perancangan bandar juga perlu memastikan pembangunan berkualiti dan berdayahuni untuk keselesaan dan kesejahteraan kehidupan rakyat, sama ada di bandar atau desa.

“Yang hendak dibangunkan adalah manusia dan komuniti, bukan sekadar membangunkan gedung atau menara.

“Maka, di sinilah peranan perancang bandar yang bertanggungjawab untuk merancang pembangunan manusiawi yang mampu membangun
masyarakat dinamik, kreatif dan ‘wired for innovation’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Smart Desa Selangor, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Hadir sama, barisan Exco Kerajaan Negeri iaitu Dato’ Iskandar Abdul Samad, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Ean Yong Hian Wah.

Pada 8 November setiap tahun, Hari Perancang Bandar Sedunia disambut di hampir 30 negara dengan sambutan tahun ini bertemakan Merancang Bersama Komuniti.

=EZY=