Categories
PBT SELANGOR

MPSJ: Aduan kutipan sampah catat penurunan ketara

OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 22 NOV: Hanya 47 aduan kutipan sampah domestik diterima Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) pada Oktober lalu, kata Mohd Zulkurnain Che Ali.

Pemangku Yang DiPertua MPSJ itu berkata ia menunjukkan penurunan ketara berbanding 1.036 aduan dicatatkan pada Januari tahun ini.

Katanya, ia merupakan hasil komitmen tinggi pihaknya dan kontraktor dalam menangani masalah berhubung isu kritikal itu.

“Selain isu sampah, kita juga komited untuk terus fokus isu jalan, lampu jalan, parit dan longkang.

“Tak kira apa sahaja kita lakukan dengan projek sebesar manapun, tetapi jika kesemua isu ini tidak ditangani dengan baik, orang awam takkan gembira dengan kita,” katanya pada sidang media.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPSJ, di Ibu Pejabat MPSJ, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mohd Zulkurnain berkata, sebanyak 96 Notis Tawaran Kompaun (NTK) dikeluarkan dan lima sitaan kenderaan dilakukan, setakat Oktober lalu.

Katanya, 48 NTK dikeluarkan di bawah Seksyen 4 atas kesalahan membuang apa-apa sampah di tempat awam, 29 NTK di bawah Seksyen 6 (tidak menyediakan tong sampah di premis perniagaan) dan 19 NTK (membuang buangan perindustrian dan buangan dagangan).

“Kesemuanya dikeluarkan di bawah Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah (UUK PPPS) MPSJ 2007,” katanya.

=EZY=