Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPSJ PBT pertama Selangor terima Sijil Sistem Pengurusan Antirasuah

OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 22 NOV: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berjaya mendahului Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain di Selangor apabila dianugerahkan pensijilan Sistem Pengurusan Antirasuah ISO 37001:2016.

Timbalan Pengarah Korporatnya, Azfarizal Abdul Rashid berkata, pengiktirafan SIRIM Berhad (SIRIM) itu sekaligus memartabatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan pada standard lebih tinggi.

Katanya, ia juga dapat mengelak ketirisan dalam segala urusan MPSJ.

“Kami amat komited dalam memastikan semua warga MPSJ dapat
meningkatkan integriti dengan menghapuskan karenah birokrasi dan bekerja secara telus.

“Langkah ini bagi memastikan produktiviti sistem penyampaian sentiasa berada di tahap yang unggul dengan mencegah segala bentuk perlakuan rasuah,” katanya.

Penganugerahan berkenaan diterima pada Majlis SIRIM Industri 2017 yang disempurnakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Datuk Wira Dr Abu Bakar Mohamad Diah, pada 10 November lalu.

Azfarizal berkata, MPSJ turut menerima pelawaan SIRIM bagi menyertai program perintis Kerajaan Persekutuan bagi Skim Pensijilan ISO 37001:2016.

Katanya, ia merupakan pengiktirafan terhadap kawalan pencegahan dalam membantu organisasi melaksanakan sistem pengurusan efektif bagi mencegah, mengesan dan menangani rasuah.

“Selaras dengan usaha MPSJ ke arah ‘zero tolerence’, kita mengorak langkah dengan membangun dan melaksanakan manual, prosedur dan polisi pengurusan anti rasuah,” katanya.

Pada 30 dan 31 Oktober lalu, MPSJ menjalani penilaian audit bagi Pensijilan Sistem Pengurusan Antirasuah ISO 37001:2016.

=EZY=