Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SENI

Nilai muzik tradisi cempuling terus dimartabat

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 26 NOV : Kejayaan Muzik Tradisional Cempuling dimainkan selama 25 jam tanpa henti dalam Malaysia Book of Records pada 2015 terus dimartabat sehingga kini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, seni muzik cempuling sebelum ini terkenal sebagai medium dakwah.

“Kini muzik ini sudah dimodenkan dengan nyanyian lagu dalam Bahasa Melayu serta bahasa lain tetapi masih mengekalkan konsep teladan dan pengajaran.

“Jika di Johor popular dengan ghazal, Pulau Pinang seni boria, Kelantan dengan dikir baratnya, oleh itu saya berharap kita sama-sama dapat merealisasikan impian untuk menjadikan negeri ini memartabatkan seni muzik cempuling,” katanya.

Beliau selaku merangkap Pengerusi PADAT berkata ketika merasmikan Majlis Gema dan Irama Cempuling Selangor di Padang Awam Batu 7, Kampung Sijangkang, Kuala Langat.

Program anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) berlangsung selama dua hari bermula 24 November itu membabitkan 14 kumpulan cempuling sekitar negeri ini.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif PADAT, Dato’ Paiman Keromo berkata, bagi memartabatkan seni muzik berkenaan Simfoni Cempuling Selangor bakal diadakan pada Julai 2018 di Bangunan Teater Shah Alam.

“Program hari ini adalah kesinambungan daripada Temasya Muzik Cempuling yang bertujuan menghimpunkan kumpulan cempuling sekitar negeri ini selain menarik minat masyarakat setempat,” katanya.

Terdahulu, antara pengisian program Gema dan Irama Cempuling yang berlangsung dua hari turut diadakan rewang kenduri rakyat dan bengkel cempuling pelajar sekolah.

=EZY=