Categories
SELANGOR

Karnival Jelajah Infratani dapat sambutan menggalakkan

OLEH SABIRAH AZIZ

SELAYANG, 26 NOV: Pelaksanaan Karnival Jelajah Infratani Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer merupakan program pertanian terakhir bagi tahun ini.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, sejak ia diadakan, terdapat pelbagai penambah baikan telah dibuat.

“Antaranya adalah peningkatan penyertaan dari segi khemah jualan dan pameran yang dianjurkan pada hari ini.

“Selain jualan dan pameran produk berkaitan pertanian, terdapat juga pameran dari jabatan berkaitan infrastruktur dan kemudahan awam untuk memberi penerangan tentang projek yang sedang dan akan dilaksanakan.

“Di samping itu, mereka turut menerima aduan dan pandangan daripada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Jelajah Infratani peringkat negeri di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang, petang semalam.

Karnival tersebut pertama kali dijalankan tahun ini pada 22 April lalu di DUN Tanjung Sepat, Sepang.

Pada masa sama, Zaidy berkata, DUN Taman Templer kini mempunyai program tambahan iaitu ‘food bank’ yang disumbangkan oleh syarikat luar dan kewangan PKM, menjadikan 500 orang penerima di kawasan tersebut.

=EZY=