Categories
SELANGOR

Pameran Hartanah Selangor: 3,000 mohon Rumah SelangorKu

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 20 NOV: Kira-kira 3,000 permohonan diterima bagi pemilikan rumah mampu milik, Rumah SelangorKu sepanjang tempoh tiga hari Pameran Hartanah Selangor 2017.

Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Norzaton Aini Mohd Kassim berkata, permohonan itu termasuk 33 pemohon yang berjaya mendapat surat tawaran rumah SelangorKu dalam pameran terbabit.

“Kita meletakkan syarat sama kepada semua pemohon ini iaitu mereka yang tidak pernah memiliki rumah, dapat mengemukakan dokumen sokongan lengkap serta bergantung kepada kekosongan unit dipohon.

“Dari senarai permohonan ini, kita juga akan semak dan lihat dahulu sama ada mereka layak atau tidak untuk membeli Rumah SelangorKu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup pameran tersebut di Setia City Mall, di sini.

Norzaton berkata, pameran berlangsung dari 17 hingga 19 November itu melibatkan sebanyak 16 pemaju perumahan.

“Menerusi pameran ini, pemohon boleh membuat permohonan terus atau pun secara dalam talian di mana kita bersedia membantu memberikan maklumat lanjut mengenai permohonan mereka.

“Diharapkan menerusi pameran ini kita berjaya mempromosikan Rumah SelangorKu kepada rakyat di mana pada 2020 nanti, kira-kira 21,000 rumah akan siap untuk diduduki.

Katanya, sejak dilancarkan pada 2014 lalu, sebanyak 145,000 pemohonan diterima bagi pemilikan Rumah SelangorKu setakat ini dengan 40 peratus daripadanya terdiri daripada golongan belia.

“Daripada jumlah permohonan itu, sebanyak 19,000 lebih berjaya mendapat tawaran rumah Selangorku,” katanya.

=EZY=