Categories
SELANGOR

Penduduk Kampung Baru Kundang terima 100 tong sampah, gelanggang baru

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 18 NOV: Bagi memastikan keselesaan penduduk, Kerajaan Negeri membelanjakan RM200,000 bagi menaiktaraf gelanggang berbumbung bola keranjang Kampung Baru Kundang.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, gelanggang terbabit bukan sahaja dijadikan tempat beriadah tetapi juga boleh dijadikan sebagai tempat masyarakat setempat menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

“Saya yakin gelanggang ini bukan sahaja untuk bersukan tetapi juga aktiviti kemasyarakatan dan sekaligus meningkatkan perpaduan dan kerjasama antara mereka,” katanya ketika menghadiri Majlis Perasmian Gelanggang Bola Keranjang Berbumbung Kampung Baru Kundang di sini, hari ini.

Jelasnya, kerja menaiktaraf gelanggang yang sebelumnya agak uzur dan tidak berbumbung itu selesai pada bulan lalu.

Sebelum itu, selain merasmikan gelanggang baru, Ean Yong turut menyerahkan sumbangan 100 tong sampah kepada penduduk di situ.

Turut hadir pada program yang dihadiri oleh lebih 100 penduduk itu, Ahli Parlimen Selayang, William Leong.

=EZY=