Categories
SUKANKINI

Penyokong Kedah mengamuk, serbu pejabat KFA, ugut lapor polis

ALOR SETAR 1 NOV: Ratusan penyokong Kedah berkumpul di hadapan pejabat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dekat Stadium Darulaman hari ini bagi menyatakan kekecewaan mereka kerana tidak mendapat tiket perlawanan akhir Piala Malaysia Kedah menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabtu ini.

MSTAR ONLINE kesemua mereka bertindak sedemikian setelah dimaklumkan tiket telah habis dijual pada jam 10 pagi, walaupun empat kaunter baru dibuka sejam sebelum itu.

Keadaan itu menyebabkan para penyokong yang tidak berpuas hati mahu menyerbu pejabat KFA kerana mendakwa penerangan yang diberikan oleh persatuan itu agak meragukan.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tiket dan Pintu Masuk KFA, Shaharol Niza Omar memberitahu sebanyak 30,000 tiket diperuntukkan dan daripada jumlah itu 18,000 diperuntukkan kepada 400 bas, manakala lebih 3,000 tiket lagi kepada kelab gabungan, pasukan, exco KFA dan penaja.

“Hampir 10,000 tiket yang disediakan di empat kaunter habis terjual dalam tempoh 45 minit,” katanya.

Sementara itu, Shaik Annuar Shaik Ahmad Yusuff, 34, yang merupakan wakil penyokong berkenaan berkata dia mahu membuat laporan polis berhubung ketidaktelusan KFA dalam penjualan tiket tersebut.

“Saya bersama penyokong lain akan membuat laporan polis kerana penerangan yang diberikan oleh KFA meragukan. Tambahan pula, mengapa peruntukan tiket kepada ‘orang dalam’ lebih banyak berbanding kepada peminat.

“Mereka perlu ingat, penyokong-penyokong inilah yang sentiasa bersama pasukan Kedah dan bukannya ‘orang dalam’ itu. Kalau tiada penyokong, pasukan bola sepak Kedah tidak ke mana,” katanya ketika ditemui di perkarangan Stadium Darul Aman.

SUMBER: Mstar Online