Categories
SELANGOR

Peruntukan khas siap sedia hadapi bencana alam

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 NOV: Peruntukan khas bagi menghadapi kemungkinan berlakunya bencana alam di negeri ini perlu disediakan di peringkat Kerajaan Negeri.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lau Weng San berkata, ia sebagai jaminan persediaan di peringkat Kerajaan Negeri untuk membantu proses pembaikan selepas berlakunya bencana.

“Kita perlu mengambil ikhtibar daripada angin taufan yang melanda Pulau Pinang beberapa hari yang lepas.

“Akibat pelepasan kandungan gas karbon dioksida yang banyak ke dalam atmosfera, iklim sedunia mengalami perubahan semakin mencabar kepada manusia.

“Kerajaan harus menyediakan peruntukan menghadapi segala cabaran bakal berpunca daripada perubahan iklim, sama ada peruntukan kepada PBT atau penduduk untuk menjalankan latihan, peruntukan untuk membantu pemuliharaan kehidupan penduduk dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berbahas di Dewan Negeri Selangor (DNS) pada sesi perbahasan Belanjawan Selangor 2018 oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada 3 November lalu.

Media melaporkan, Pulau Pinang dilanda banjir paling teruk dalam sejarah dengan hampir 7,000 mangsa dipindahkan ke pusat penempatan di empat daerah negeri itu.

Banjir sama turut memberi kesan kepada Kedah, dengan hampir 2,500 mangsa dipindahkan setakat malam tadi.

Pada masa sama, banjir kilat setinggi hampir satu meter menyebabkan kesesakan luar biasa di beberapa kawasan Klang, pagi ini.

Beberapa lokasi di sekitar Klang dinaiki air termasuk persimpangan lampu isyarat antara Lebuhraya Shapadu / Lebuhraya Persekutuan, Jalan Sungai Rasau dan Jalan Meru menyebabkan beberapa jalan ditutup.

=EZY=