Categories
NASIONAL

Denda maksimum RM6 juta vesel asing ceroboh perairan negara

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Denda maksimum bagi pemunya atau nakhoda vesel asing yang menceroboh perairan Malaysia akan dinaikkan dari RM1 juta kepada RM6 juta melalui pindaan terhadap Akta Perikanan 1985.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, penalti bagi setiap anggota kru juga dinaikkan dari RM100,000 kepada RM600,000.

“Jemaah menteri pada 26 Jun lalu bersetuju supaya kementerian ini meminda Akta Perikanan 1985,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Halimah Mohamed Sadique (BN-Kota Tinggi) berkaitan hasrat kementerian untuk meminda Akta Perikanan sedia ada bagi menangani pencerobohan nelayan asing.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata 1,182 vesel asing ditahan sejak 12 tahun lalu dengan penangkapan paling tinggi melibatkan 706 vesel dari Vietnam.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan terhadap individu atau penjawat awam yang terlibat memberi maklumat kepada vesel asing mengenai sebarang operasi yang dilakukan pihak berkuasa di perairan negara.

Beliau menjawab soalan tambahan Halimah berkaitan tindakan terhadap pemberi maklumat dalam kalangan nelayan terhadap vesel asing.

Salahuddin kemudian membentangkan Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2019 bertujuan menaikkan penalti am bagi kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, bagi bacaan kali pertama selepas sesi soal jawab lisan itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pinda segera Akta Perikanan 1985 lindung nelayan

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Kerajaan Persekutuan perlu segera meminda Akta Perikanan 1985 seperti gesaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengelakkan pencerobohan hasil laut negara terus berleluasa.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, nasib nelayan tempatan perlu dibela memandangkan isu itu sudah dibangkitkan sejak sekian lama dan bukan terus bermain sandiwara bermusim.

“Mengapa selepas 30 tahun tiada tindakan mengubah dan membela nasib nelayan?

“Siapa yang begitu berpengaruh dan berkuasa untuk dilindungi? Apa komitmen Kerajaan Persekutuan mengubahnya dan membawa nelayan keluar dari golongan termiskin di bawah pendapatan RM400 sebulan?” soalnya dalam sidang media, di Pusat Media Parlimen.

Raja Kamarul Bahrin berkata, penyelarasan kerjasama antara pasukan penguat kuasa terdiri daripada Polis Marin, Jabatan Laut, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) perlu dilakukan bagi memantau perkara itu.

Selain itu, katanya, hukuman tidak setimpal yang didakwa tidak menggerunkan nelayan asing juga perlu dipertingkat segera.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Bakri dalam kenyataannya mencadangkan Seksyen 19 Akta Perikanan 1985 berkaitan kelulusan permit kepada nelayan dikaji semula kerana ia dilihat sebagai punca sumber maritim negara mudah dirompak nelayan asing.