Categories
NASIONAL

Program KEADILAN dihalang bukti Umno-BN tergugat di Johor

OLEH HAFIAN TAIB

JOHOR, 26 NOV: Umno-Barisan Nasional (BN) nyata tergugat apabila didakwa menghalang program Jelajah KEADILAN Peduli Rakyat diadakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara, Tebrau, di sini, hari ini.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata tindakan diambil itu adalah bukti jelas rakyat ketika ini beralih arah dan mahukan perubahan dalam pentadbiran negara.

“Bendera dan gambar saya dirampas, saya tidak tahu adakah ini demokrasi di Johor?

“Saya bukan perompak dan pembunuh tetapi hanya rakyat Malaysia. Mengapa mereka takut dengan saya? soalnya dalam majlis Jelajah KEADILAN Peduli Rakyat di Tebrau, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, program itu sepatutnya dijalankan di PPR Desa Mutiara kerana sebagai pemimpin, beliau ingin turun ke bawah untuk melihat kehidupan rakyat.

Katanya, difahamkan penduduk di kawasan itu dalam keadaan susah kerana kos sara hidup tinggi tetapi ada parti politik tidak membenarkannya masuk ke sana.

“Mengapa Majlis Bandaraya Johor Bahru rampas (bendera KEADILAN)? Kerana ada arahan dari atas,” katanya

Katanya, KEADILAN adalah salah satu parti politik yang sah di dalam Pakatan Harapan (PAKATAN ) dan telah mendapat mandat rakyat bagi membentuk kerajaan di Selangor juga Pulau Pinang.

=EZY=