Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Rakyat berkuasa tukar pentadbiran negara

OLEH HAFIZAN TAIB

JOHOR, 26 NOV: Kejayaan Pakatan Harapan (PAKATAN) mentadbir Selangor dan Pulau Pinang, adalah model terbaik untuk rakyat melakukan perubahan terhadap pentadbiran negara di Putrajaya.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ai, berkata rakyat berhak memperoleh kehidupan lebih baik berbanding apa dilalui ketika ini akibat pentadbiran penuh bermasalah oleh Umno-Barisan Nasional (BN) diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, rakyat boleh melakukan perubahan kerana mereka berkuasa bagi tujuan itu dan ia telah dibuktikan rakyat Zimbabwe yang bangkit bagi menjatuhkan Presidennya, Robert Mugabe, baru-baru ini.

“Mugabe berkuasa 37 tahun dan dia tidak dijatuhkan melalui pilihan raya tetapi dijatuhkan bila rakyat bangkit.

“Kalau setakat yang ada ini (Umno-BN), InsyaAllah, dalam tempoh beberapa bulan lagi rakyat bangkit dan bawa perubahan di Putrajaya,” katanya dalam Jelajah KEADILAN Peduli Rakyat di Kota Masai, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, pelbagai perubahan dilakukan dalam pentadbiran di Selangor dan Pulau Pinang sejak lapan tahun lalu di bawah PAKATAN, memberikan kebaikan kepada rakyat dan ia perlu dinikmati seluruh rakyat negara ini termasuk Johor.

“Mengapa saya nak rakyat Johor lakukan perubahan kerana saya bukan nak tabur janji tetapi kita telah membuktikannya dengan membawa perubahan di Selangor dan Pulau Pinang diterajui Ketua Menteri, Lim Guan Eng,” katanya.

=EZY=