Categories
SELANGOR

Seramai 69,216 OKU berdaftar di Selangor

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 7 NOV: Seramai 69,216 Orang Kelainan Upaya (OKU) mendaftar dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor (JKMS), sehingga 15 Oktober lalu.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, daripada jumlah itu daerah Petaling mencatatkan OKU paling tinggi sebanyak 19,046.

Katanya, bagi membantu OKU, Kerajaan Negeri telah menyediakan pelbagai program keistimewaan dan manfaat khas kepada OKU dengan peruntukan sebanyak RM220,000 bagi program pemberdayaan dan pembangunan.

“Antara program dilaksanakan adalah Karnival Kerjaya dan Pemerkasaan Ekonomi OKU pada 14 dan 15 Oktober lalu di mana seramai 113 OKU berjaya menghadiri temuduga kedua oleh majikan terlibat.

“Melalui Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) seperti Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Skim Peduli Sihat pula, sebanyak 10,570 permohonan SMUE diterima dengan seramai 2,416 orang menerima manfaat melibatkan peruntukan RM5.9 juta.

“Manakala bagi Skim Peduli Sihat seramai 8,329 OKU membuat permohonan dan akan menerima manfaat RM200 bagi setiap OKU berdaftar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi berkenaan keistimewaan dan peruntukan kepada OKU di Selangor.

Dalam pada itu, Daroyah berkata, Kerajaan Negeri kini dalam tindakan mewujudkan Jawatankuasa Bebas Halangan OKU bagi memastikan setiap pihak berkuasat tempatan (PBT) melaksanakan keperluan rekabentuk sejagat, mesra OKU khususnya dalam projek pembangunan baharu dan sedia ada di sekitar kawasan PBT masing-masing.

=EZY=