Categories
SELANGOR

Sabotaj projek pusat warga emas seperti isytihar perang

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 20 NOV: Tindakan pihak tertentu merosakkan projek pembinaan pusat kegiatan warga emas di Taman Nirwana, Ampang seperti mengisytiharkan perang kepada rakyat.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, tindakan sabotaj itu dilakukan sehari selepas majlis pelancaran permulaan projek berkenaan.

“Pada 17 November lalu, majlis permulaan kerja berlangsung bagi Pusat Kegiatan Warga Emas di Taman Nirwana, Ampang.

“Bagaimanapun, kakitangan saya datang ke tapak itu Sabtu lalu dan mendapati tembok bata dibina di situ dipecahkan,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Beliau berkata, tapak projek tersebut adalah bekas tapak sebuah restoran yang tidak disambung lesen pendudukan sementaranya oleh Kerajaan Negeri.

“Saya memandang serius tindakan sabotaj ini kerana ia merupakan pengisytiharan perang ke atas rakyat terutamanya warga emas. Kita tidak boleh biarkan sesiapa sahaja menghalang Kerajaan Negeri menyediakan kemudahan untuk rakyat.

“Di zaman BN, tapak tersebut dimanfaatkan untuk individu tetapi di bawah Kerajaan Negeri hari ini ia akan dimanfaatkan untuk seluruh rakyat,” katanya sambil menambah terdapat bantahan terhadap pembinaan projek berkenaan,” katanya.

Iskandar turut memohon Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan dan Kemajuan (JKKK) Kampung Pandan, Ahli Jawatankuasa Masjid Nurul Hidayah dan Surau Darussalam berhampiran tapak projek tersebut membuat kawalan agar projek berjaya dilaksanakan.

“Saya dimaklumkan bahawa Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abdul Hamid Hussain, telah menerima surat membantah pembinaan di atas tapak tersebut.

“Diharapkan polis dapat menyiasat sama ada terdapat hubungan di antara sabotaj dan (surat) bantahan ini,” katanya.

Sehubungan itu, Pusat Khidmat Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka menawarkan RM1,000 kepada pemberi maklumat berkenaan pihak tidak bertanggungjawab di talian 03-92014411 pada waktu pejabat.

Menurut Iskandar, pembinaan pusat itu adalah melalui peruntukan ADN Chempaka, MPAJ dan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Pusat kegiatan warga emas itu dijangka dilengkapi dengan gelanggang refleksologi, mesin senaman dan wakaf.